Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah penganjuran acara "Pink Dot Penang 2014" di George Town, Pulau Pinang yang didakwanya bertujuan meraikan kumpulan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT).
Poster acara tersebut telah dimuat naik di Internet, dan ia akan berlangsung di 1926 Heritage Hotel pada Mac 29.
ABIM berpandangan bahawa acara sebegitu amat bercanggah dengan nilai-nilai pelbagai agama dan adat budaya di Malaysia, kata Setiausaha Agungnya Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Katanya, berdasarkan rujukan terhadap laman Pink Dot Singapore, pada tahun 2013, acara seumpama itu telah diadakan secara besar-besaran "dengan tujuan menyeru persamaan hak bagi komuniti LGBT agar hubungan sesama jenis tidak dianggap suatu yang negatif".
"ABIM memandang berat penganjuran acara sebegini sebagai satu usaha yang biadab dan jelas tidak menghormati sentimen majoriti masyarakat Malaysia yang rata-ratanya berpegang teguh dengan ajaran agama.
"Acara sebegini seolah-olah ingin membawa anasir kebebasan percintaan songsang yang telah kedengaran di merata pelosok dunia termasuk di negara-negara maju seperti UK, Perancis dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Namun ABIM juga menilai acara tersebut sebagai reaksi dari sikap dan persepsi buruk masyarakat yang amat keterlaluan hingga mengakibatkan hilang pertimbangan keadilan dalam keadaan tertentu ketika menghukum mereka sebagai seorang warganegara hanya atas dasar mereka cenderung dengan kelompok LGBT," tambanya.
Bagaimanapun, katanya, ABIM melihat memadai untuk kelompok ini didekati dan diberikan bimbingan tidak sehingga diberikan pengiktirafan meluas menerusi acara seperti yang dirancang.
Sehubungan itu, katanya, ABIM akan menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Pejabat Menteri serta Pejabat Ketua Pembangkang.
Selain itu, katanya, ABIM juga akan membuat laporan polis menuntut siasatan dilakukan kerana ia bercanggah dengan semangat yang terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang secara terang-terangan mengiktiraf Islam dan agama-agama lain sebagai teras kepada nilai kenegaraan.
Malaysia tidak mempunyai undang-undang terhadap homoseksual, tetapi liwat adalah satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang boleh disabitkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Pada tahun 2011, acara yang sama 'Seksualiti Merdeka ' di Kuala Lumpur telah diharamkan, di mana kira-kira 30 anggota polis menyerbu majlis itu semasa ia sedang berjalan.