Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajang: BN lwn Pakatan, tiada bebas
Diterbitkan:  Mar 11, 2014 7:56 AM
Dikemaskini: Mar 11, 2014 5:22 AM

Galeri Foto

Di samping tumpuan rakyat Malaysia kepada hasil usaha mencari pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan krunya, PRK DUN Kajang dijangka turut mendapat perhatian apabila kempen bermula selepas penamaan calon hari ini.

Ia berlangsung di Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi pagi ini.

PRK DUN Kajang bakal menyaksikan pertembungan antara

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mewakili Pakatan Rakyat dan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili BN.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, yang sebelum ini berhasrat bertanding di situ, menarik diri selepas Wan Azizah diumumkan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Ia ekoran keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas menerima rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar dalam kes Liwat II, dan menjatuhka hukuman lima tahun  penjara ke atasnya.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya dari PKR, Lee Chin Cheh meletakan jawatan pada 27 Januari lalu, untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK tersebut, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

    

Manakala anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil ini ialah RM1.6 juta.

   

Daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan suku tahun ketiga 2013 yang dikemaskini sehingga 26 Januari 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.

LAPORAN LANGSUNG

10.35am: Wan Azizah beredar dari pusat penamaan calon, dengan para penyokong menyanyikan lagi keadilan dan beliau melambai-lambai kepada mereka.

Sebelum itu, beliau mengadakan sidang media ringkas sebelum bergegas ke mahkamah bagi mendengar hukuman dijatuhkan terhadap Karpal Singh.

"Saya rasa sungguh terharu dengan sokongan yang banyak kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

"Jadi kalaulah ini menjadi referendum kepada ketidakadilan yang berlaku, yalah, memang keluarga kami terkena, tapi ini satu referendum kepada sistem kehakiman dalam negara kita.

"Saya berharap pengundi Kajang menyokong saya dengan memberi mesej kuat (menolak BN) secara menyeluruh," katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin dapat meningkatkan majoriti kemenangan, Wan Azizah berkata: "Perhitungan (itu) kita bermain di tanah yang tak rata, saya harap kemenangan yang saya cari, Insya-Allah, doakan. Itu yang lebih penting.

10.35am: Skuad gempur BN membuat tarian di balapan kompleks sukan. Penyokong BN mula beredar dari kawasan berkenaan.

10.15am: Pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman mengisytiharkan selesainya proses penamaan calon dan mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Chew Mei Fun dan Wan Azizah dari PKR.

10.10am:  Di luar kompleks sukan - di sebelah Pakatan - Anwar sekali lagi bersama penyokong memimpin sorak dengan laungan "Hidup rakyat, Hancur BN," dan Reformasi beberapa kali. Beliau juga bersalaman dengan penyokong.

10.08am: Tiada calon Bebas ketika penamaan calon ditutup. Ia bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan, Wan Azizah dan calpon BN Chew Mei Fun.

Kedua-dua kelihatan tersenyum ketika mereka berjabat tangan.

9.59am: Tatkala tempoh tutup masa penyerahan borang penamaan semakin hampir, sekumpulan penyokong BN berbaju 'Inikalilah tolak Anwar' bersorak "Tolak-tolak. Tolak Anwar dan Hancur-hancur Pakatan".

9.46am: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai Bertemu dengan ahli-ahli dari Bera, Pahang yang datang memberikan sokongan Kepada calon BN.

Liow berkata penyokong BN amatlah menggalakkan, dengan anggaran sekurang-kurangnya 5,000 Ahli MCA menyertai kumpulan penyokong itu.

"Kami gembira dengan sambutan yang baik daripada ahli-ahli parti kerana kita dapat menggembleng ribuan orang dalam masa yang singkat," kata Liow.

9.45am: Penyokong Pakatan mengibarkan kain rentang gergasi mendoakan keselamatan penumpang MH370 bertulis "Pray for MH370". Mereka turut menggantung seikat kangkung bersama kain rentang itu.

9.45am: Mei Fun dan Wan Azizah berada dalam pusat penamaan calon tetapi tidak ada tanda-tanda mungkin ada calon Bebas. Masih ada 15 minit sebelum waktu penamaan ditutup.

9.40am: Kira-kira 1,000 penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di Kompleks Sukan Kajang. Mereka melaungkan "Hidup Rakyat, Tumbang BN".

Beberapa penyokong Pakatan menjerit dan menyatakan "Kapal selam tak boleh selam", "Ayam seringgit, ayam seringgit", Najib, Najib, Kangkung, Kangkung sambill diperhatikan anggota polis yang berkawal di luar kawasan penamaan calon.

9.30am: Penyokong BN memenuhi Balapan dan mengibarkan bendera sambil menyanyi Hidup BN secara berkumpulan.

9.25am:   Luar kompleks sukan - Ketika Wan Azizah mengemukakan borang pencalonan, Anwar dan Khalid Ibrahim mengambil kesempatan bersalaman dengan penyokong Pakatan yang dipisahkan dengan penghadang dan kawat berduri.

Mereka juga turut menandatangani autograf sementara penyokong melaungkan reformasi beberapa kali.

Kedengaran juga penyokong berteriak: "Tan Sri Khalid, buat kerja elok, elok. Jalan banyak lubang"

"Datuk Seri, Kangkung sekarang berapa kilo", yang kemudiannya diiirngi gelak ketawa hadirin.

Penyokong kemudiannya melaung beramai-ramai dengan laungan "Lawan tetap Lawan", Hidup Rakyat dan hancur BN".

9.20am: Beberapa kumpulan kecil kira-kira 10 orang penyokong Pakatan bagi setiap kumpulan sedang berjalan menuju ke pusat penamaan calon.

Ada yang kecewa apabila diberitahu bahan-bahan parti seperti topi dan topeng adalah dijual dan bukan percuma. Mereka, bagaimanapun, gembira apabila petugas parti mengedarkan karipap percuma.

Kira-kira 1,000 Pakatan dan BN penyokong berkumpul di sebelah menyebelah kompleks sukan dan melaungkan slogan masing-masing sambil dipantau oleh kira-kira 50 anggota polis rusuhan.

9.15am: Penyokong BN diminta masuk ke dalam kawasan pusat penamaan calon.

9.15am: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba ke pusat penamaan dan disambut dengan laungan takbir beberapa kali.

9.05am: Wan Azizah dan Anwar serta pemimpin Pakatan memasuki pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.

9.00am: Hadapan Kompleks Sukan MPKJ - Kecoh seketika apabila seorang lelaki membawa bendera PKR dan memakai baju 'PAS for All' lalu di tengah-tengah penyokong BN. Hanya sorakan tanpa sebarang insiden dan dia diiring polis keluar dari kawasan itu.

9.00am: Satu konvoi sekurang-kurangnya 30 motosikal membawa pemuda berbaju biru gelap BN Kajang dilihat dalam perjalanan menuju ke pusat penamaan calon.

8.51am: Kompleks Sukan MPKJ - Wan Azizah dan Anwar Ibrahim tiba bersama penyokong pakatan rakyat. Beberapa minit kemudian, mereka bergerak-gerak perlahan memandangkan jurufoto bertolak-tolak untuk mengambil gamber mereka, sehingga ke kompleks sukan MPKJ.

Dalam kompleks, sekumpulan polis membuat sekatan bagi mengelakkan penyokong masuk ke pusat pengundian.

Sekali lagi berlaku tolak menolak, untuk memberi laluan kepada Wan Azizah dan Anwar memasuki ke pusat penamaan, memandangkan ramai penyokong yang berhimpun di depan sekatan itu.

Akhirnya kedua-dua tokoh PKR dan pemimpin Pakatan berjaya memasuki dan melintasi sekatan polis yang dijaga oleh FRU.

8.50am: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tiba dan bersalaman dengan penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama, penyokong merentangkan banner bertulis:

"Kak Wan, lapkan air mata, teruskan perjuangan".

Kata-kata itu, diungkap sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat Baru-baru ini.

8.50am: Kompleks Sukan MPKJ - Calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun tiba di pusat penamaan calon.

8.45am: Kira-kira 1,000 penyokong BN kini berarak ke pusat penamaan calon.

8.40am: NIOSH Bangi- Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar memberi ucapan di luar NIOSH Bangi mngajak penyokong jangan gentar dan 'Hidup Barisan'.

8.35am: Kompleks Sukan - Dalam ulasan ringkasnya, Timbalan

Presiden PKR Azmin Ali berkata: "Kalau Umno mahu menyekat kemaraan rakyat melalui keputasan mahkamah, mereka membuat kesilapan besar.

"Keputusan zalim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencetus gelombang rakyat dan ia bermula di Kajang.

"Oleh itu, Pakatan Rakyat telah sepakat dan bersetuju untuk memilih Dr Wan Azizah sebagai calon.

"Beliau adalah lambang dan simbol reformasi 1998, telah berjaya menguatkan kesepakatan barisan alternatif dan Pakatan selepas itu.

"Kehadiran beliau meniup semangat baru kepada aktivis, reformasi kepada rakyat terus untuk bersama lonjakan ke Putrajaya," katanya.

8.30am: Para pemimpin Pakatan yang turut serta menunggu untuk berarak masuk ke Kompleks Sukan ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Dr Xavier Jayakumar, Dr Mohd Nor Manuty, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong.

Penyokong yang hadir mengibarkan banting bertulis 'Keadilan Untuk Anwar Ibrahim', 'Dari Kajang Ke Putrajaya' dengan gambar beliau bersongkok.

Gambar Wan Azizah turut dikibarkan bersama-sama. Mereka juga mengibarkan poster "Rakyat Hakim Negara".

Difahamkan Wan Azizah akan sampai bersama penyokong Pakatan pada bila-bila masa.

8:21am:  Niosh Bangi - BN calon Datin Paduka Chew Mei Fun tiba.

Beliau disambut oleh sorakan kuat dan laungan "Long Live BN" oleh lebih 500 penyokong yang kini telah berkumpul di sini .

8:20am: NIOSH Bangi - Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di NIOSH bersama pimpinan MIC dan Umno

8.10am: LHDN Bangi - Semakin ramai pemimpin Pakatan tiba untuk memberi sokongan. Antaranya ialah Datuk Kamaruddin Jaafar, ADUN Batu Burok Dr Syed Azman, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan Ketua DAP Johor Liew Chin Tong.

Bilangan penyokong kini dianggarkan sekitar 1,000 orang. Sambil berarak, mereka meluangkan "Takbir", "Reformasi" dan "Jatuh, jatuh jatuh BN" .

8.05am: Niosh Bangi - atusan penyokong BN berkumpul di hadapan Bangunan NIOSH, menunggu ketibaan calon, Naib Presiden, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba.

8.00am: LHDN Bangi - Lebih 500 penyokong Pakatan mula berarak dari bangunan LHDN Bandar Baru Bangi menuju ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, yang diketuai oleh Azmin Ali selepas bacaan doa oleh Abdul Rani.

Mereka membawa sepanduk menyokong calon Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, disertai dengan melaungkan "reformasi".

7.50am: LHDN Bangi - Pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokong mula memenuhi kawasan letak kereta di bangunan LHDN Bandar Baru Bangi.

Antara pemimpin telah tiba ialah Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan ADUN Meru Dr Abdul Rani Othman.

    


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS