Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengesahkan tompokan minyak yang dijumpai di Laut China Selatan semalam hanyalah minyak bunker yang memang tidak digunakan oleh kapal terbang.
Ketua Penguatkuasa Wilayah Marin Timur APMM Datuk Nasir Adam berkata perkara itu disahkan hasil ujian yang dibuat Jabatan Kimia Petaling Jaya, lapor Bernama.
Bahan api atau minyak bunker biasa digunakan oleh sektor perkapalan.
"Saya dimaklumkan keputusan ujian minyak yang dijumpai semalam adalah negatif bukan minyak kapal terbang tetapi bunker fuel ," beliau dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar di Pangkalan APMM Daerah Maritim 10 di Pasir Putih.
Semalam APMM menjumpai tompokan minyak di kawasan Laut China Selatan, 100 batu nautika dari pantai Tok Bali.
Dalam pada itu beliau berkata APMM akan meluaskan lagi kawasan mencari dan menyelamat (SAR) di Laut China Selatan selepas gagal menemui sebarang petanda dalam operasi hari ketiga meliputi kawasan seluas 1,500 batu nautika untuk mengesan pesawat MAS MH370 yang hilang Sabtu lalu.
Nasir berkata kawasan operasi yang terbahagi kepada beberapa sektor itu turut melibatkan penggunaan unit udara APMM iaitu pesawat CL415 Bombardier selain menggunakan kapal peronda KM Langkawi, KM Segantang, KM Jujur, KM Sebatik dan KM Amanah.
"Operasi mencari kini sudah meliputi 7,656 batu nautika di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Laut China Selatan yang turut melibatkan beberapa lagi pasukan SAR dari negara luar," beliau dipetik sebagai berkata.
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLr pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat dan sepatutnya dijadual tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu.