Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah hari ini menggesa penyokong Pakatan Rakyat agar tidak bersedih dengan keputusan mahkamah yang mensabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan Liwat 2, semalam.

Dalam ucapan ringkasnya pada Konvensyen Pakatan Rakyat kelima di Shah Alam pagi ini, Wan Azizah berkata keputusan itu bahkan akan menguatkan keazaman Pakatan untuk terus bersatu.

"Sekarang ini kita bersama dan inilah kekuatan kita.

"Janganlah kita berpecah belah, janganlah kita fikirkan bahawa kita seorang sahaja.

"Marilah kita tingkatkan, kuatkan, teruskan perjuangan kita.

"Air mata itu hanya untuk membasahi (pipi) sekejap sahaja, kita lap dan kita teruskan," katanya.

Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 di kondominium Desa Damansara.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi.

Anwar didapati bersalah selepas kes itu dirayu oleh Peguam Negara yang melantik peguam terkemuka, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah untuk mewakili kerajaan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan ketua pembangkang itu dari tuduhan tersebut.

Wan Azizah sewaktu memulakan ucapannya pagi tadi tetap kedengaran bersemangat walaupun mengakui bersedih dengan keputusan mahkamah semalam.

"Walaupun sugul di hati tetapi masih lagi semangat tinggi," kata Wan Azizah.

Beliau kemudian dianugerahkan sebagai Tokoh Wanita Pakatan Rakyat dalam konvensyen pagi tadi, sempena Hari wanita Sedunia yang jatuh pada hari ini.

Anugerah itu disampaikan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Mumtaz Md Nawi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS