Aktres terkenal tanahair, Erra Fazira menafikan mengenali secara rapat Menteri Wilayah Persekutuan dan ahli parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Terkejut dengan perkara itu, Erra menyifatkan desas desus yang mengatakan hubungannya dengan Tengku Adnan itu hanya gosip semata-mata, lapor Berita Harian hari ini.
"Tolong jangan kaitkan saya dengan mana-mana lelaki hanya kerana dengar gosip. Saya tiada masa untuk berfoya-foya," katanya seperti dilapor akhbar itu.
Laporan itu juga menyebut, bekas ratu cantik Malaysia menjelaskan beliau tiada masa untuk menjalin hubungan istimewa apatah lagi untuk diri sendiri juga tidak mencukupi.
"Selalunya, Januari atau Febuari adalah masa untuk saya bawa kakitangan bercuti. Namun, disebabkan terlalu sibuk, saya tidak sempat berbuat demikian.
"Jadi, bila masa untuk saya jalin hubungan, sedangkan untuk diri sendiri pun saya tidak cukup masa?," kata Erra yang baru bercerai talak satu dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 18 Febuari lalu.
Laporan itu juga menyebut, sejak bercerai, ini kali pertama Erra dikaitkan dengan lelaki lain.
Berita Harian semalam melaporkan Tengku Adnan turut menafikan mempunyai hubungan dengan bintang filem Sembilu itu, bahkan menegaskan dirinya cukup bahagia dengan perkahwinan sekarang.