Catuan air di Selangor mulai minggu lalu sedikit sebanyak melegakan penduduk yang selama ini bermasalah ekoran jadual bekalan air yang tidak menentu.
Bagaimanapun, pengusaha restoran masih melibat keadaan tidak menentu itu akan terus memberi masalah kepada perniagaan mereka.
Perkara itu disuarakan penduduk kepada Malaysiakini dalam tinjauan sekitar Balakong – kawasan yang terjejas teruk sejak sebelum catuan dimulakan 27 Februari – pada Sabtu.
Pengusaha stimbot Poon Poh Yoke ( kiri ) berkata, bekalan yang diterima masih tidak cukup kerana selain memasak, mereka memerlukan banyak air, termasuk untuk memastikan kebersihan restoran.
Menurut Poon, 38, keadaan itu memaksa beliau terpaksa memaksimumkan penggunaan dengan menggunakan air mandi untuk cucian lantai.
Malah, tambahnya, kedainya juga akhirnya terpaksa ditutup buat sementara waktu.
"Saya kena uruskan bekalan air di rumah, kena sangat jimat sampai air anak mandi saya simpan buat cuci lantai.
"Saya kena beli tong (air). Satu tong RM8. Saya kena beli 20 tong sederhana (besar) untuk bekalan saya dan suami serta tiga orang anak," katanya.
Selangor mula mencatu air mulai 25 Februari di kawasan yang mengalami masalah bekalan menggunakan sistem penggiliran antara dua zon setiap dua hari.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menjangkakan penjadualan itu berakhir bulan ini selepas taburan hujan konsisten dan kapasiti air di empangan negeri bertambah.
Setakat ambil gambar MOU...
Sementara itu, seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat pula mahu tahu bilakan catuan akan tamat dan bagaimana kerajaan pusat dan negeri akan memastikan masalah bekalan air tidak berulang.
"Mesti ada penyelesaian diambil kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Jangan setakat ambil gambar MOU (memorandum persefahaman). Kita nak masalah ini diselesaikan,” kata Wong Chin Chong ( kiri ), 43.
"Kita tak mahu sejarah berulang lagi”
Sementara itu, seorang penduduk pangsapuri di Taman Cheras Jaya pula berkata, keadaan selepas catuan lebih tersusun dan membolehkan isi rumah, terutamanya pihak yang berkeluarga, merancang penggunaan masing-masing.
"Kalau satu hari (air sampai) satu hari (tiada) kita boleh bersedia,” kata Arumugam Periasamy, 40, yang tinggal bersama empat lagi anggota keluarganya.
Bagaimanapun, menurut Arumugam, ruang simpanan air, terutamanya bagi rumah yang kecil, masih menjadi masalah kepada penduduk sekitar.
Ada hikmah
Seorang penduduk di Taman Sinaran pula walaupun menghadapi masalah menganggap masalah itu mempunyai hikmahnya tersendiri apabila ia secara tidak langsung mengeratkan hubungan penduduk setempat.
"Tapi ada hikmah di sebalik kesengsaraan sebenarnya. Oleh sebab krisis air, kita penduduk Taman Sinaran jadi saling mengenali berbanding sebelumnya.
"Kita saling membantu mengangkut air bersama tak kira bangsa," kata Mohd Yusof Masuri ( atas ), 47.