PKR berharap kes saman fitnah yang menyebabkan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang diperintah membayar ganti rugi RM2 juta kepada seorang pemimpin akar umbinya diselesaikan dengan cara baik.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, saman oleh Ketua Angkatan Muda PKR Dungun Mohd Shamsul Mat Amin itu perlu diselesaikan dengan baik demi kebaikan dan kesepakatan bersama.
“Pimpinan PKR telah mengambil pendirian sebelum ini bahawa kes saman ini tidak perlu diteruskan.
“Namun Saudara Mohd Shamsul telah bertegas bahawa beliau perlu membersihkan nama dan maruah beliau akibat dakwaan yang dibuat sewaktu pilihan raya umum ke-13,” kata Fahmi.
Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan semalam selepas Hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan pada 5 Disember lalu.
Peguam kepada Shamsul, A Vasudevan berkata, mahkamah turut memerintahkan Hadi membayar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi itu dari tarikh writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Vasudevan dilapor berkata, Hadi gagal hadir sepanjang tiga kali kes itu disebut di mahkamah dan tidak mengemukakan sebarang memorandum ketidakhadiran atau pembelaan terhadap tuntutan itu.
Shamsul (plaintif) memfailkan saman bagi membersihkan namanya, susulan ceramah Hadi (defenden) di Alor Limbat yang didakwa mengaitkan calon PKR itu dengan pil kuda.