Simbahan cat merah ditemui di luar pejabat portal berita bebas Malaysiakini di Bangsar Utama, Kuala Lumpur pagi ini.
Manakala, seekor itik ditemui dalam sebuah kotak, yang ditinggalkan bersebelahan pintu masuk utama.
Pada mulanya itik tersebut disangka mati kerana tidak bergerak. Manakala kotak itu tidak dibuka bagi menunggu siasatan polis.
Bagaimanapun apabila sebahagian penutup kotak itu ditarik, didapati itik itu masih hidup tetapi hampir tidak bergerak.
Cat merah itu disimbah pada dinding dan juga papan tanda Malaysiakini yang diletakkan di bangunan tingkat empat dan telah mengenai sebuah motosikal yang diparkir berdekatannya.
Kotak yang ditinggalkan bersebelahan pintu masuk utama itu juga dilekat dengan gambar ahli parlimen Seputeh Teresa Kok.
Menurut Editor Grafik Malaysiakini , Azlan Zamhari, staf pertama sampai ke pejabat itu pada jam 6.15 pagi, mendapati cat merah itu masih lagi basah.
"Secara jelas menunjukkan cat itu dibaling dengan menggunakan lima plastik bag," katanya.
Seorang pengendali kedai di kawasan itu berkata, tindakan vandalisme itu telah berlaku sewaktu beliau sampai pada jam 4.30 pagi tadi.
Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Travers pada jam 10.40 pagi tadi.
Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan berkata portal berita itu tidak gentar dengan serangan itu.
"Terdapat kamera litar tertutup berdekatan persimpangan di luar bangunan pejabat. Saya berharap ia berfungsi," kata Gan.
"Kami akan meminta polis memeriksa rakamannya supaya dalangnya dapat ditahan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran berkata: "Ini kerja agen provokator".
"Ia satu percubaan yang keji untuk menutup mulut mereka bersuara dan pada masa yang sama, untuk membiasakan idea keganasan.
"Jika tiada apa yang dilakukan untuk menghentikan tindakan itu, jika tiada siapa yang dihukum, kita boleh menjangkakan keadaan yang lebih buruk."
Ketika dihubungi Malaysiakini , Teresa mengutuk cubaan untuk mengugut wartawan portal berita itu.
"Dengan meletakkan gambar saya pada kotak itu menunjukkan pelaku cuba mengaitkan Malaysiakini dengan video klip sambutan Tahun Baru Cina saya," katanya.
Beliau tidak bercadang untuk membuat laporan polis sekali lagi, tetapi menggesa polis membuat siasatan menyeluruh berhubung insiden terbaru itu.
Ditanya pandangannya mengapa itik digunakan dalam insiden itu, Teresa berkata dalangnya mungkin mahu membezakan antara organisasi media dan pejabat ahli politik.
Serangan terhadap Malaysiakini dibuat selepas seminggu pejabat Teresa disimbah cat merah dan diletakkan bangkai ayam di tangga menuju ke pejabatnya.