Satu demonstrasi akan diadakan pada 5 April ini sebagai tanda solidariti kepada penoreh gerah yang terkesan dengan penurunan harga komoditi itu, kata Dewan Pemuda PAS Pusat.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata PAS Kedah akan menganjurkan demonstrasi itu yang dijadual berlangsung di Baling pada petang tarikh tersebut.
Perhimpunan itu akan menjadi sebahagian kempen bersepadu mendesak kerajaan mendengar rungutan penoreh getah, terutama mereka yang tidak memiliki tanah di mana mereka bekerja.
"Pemuda PAS akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan terhadap nasib penoreh getah di seluruh negara.
"Kami juga akan mengadakan membuat siri penerangan penurunan harga getah di seluruh negara," katanya dalam sidang medianya hari ini.
Penoreh getah di Sik, Padang Terap dan Baling - semuanya di Kedah - masing-masing telah menganjurkan bantahan mereka terhadap kerajaan negeri berhubung harga getah.
Harga getah terkini mencecah RM2.50 sekilogram berbanding RM3 pada Januari tahun ini.
"Bagi penoreh getah yang mengambil upah untuk kebun getah seluas 2 relung (1.4 ekar) pendapatan bulanan yang mampu mereka perolehi sekitar RM400 ke RM500 sahaja... Mereka hanya mengambil upah kerana ketiadaan tanah.
"Jumlah pendapatan sebegini telah menyebabkan sebahagian besar penoreh getah berada bawah paras kemiskinan," katanya sambil menuntut kerajaan menaikkan harga lantai getah kepada RM4 sekilogram.
Menurutnya lagi, Pemuda PAS mendesak kerajaan memperuntukan sejumlah subsidi kepada penoreh getah sebagai penyelesaian jangka masa pendek sementara proses kajian dan semakan terperinci dijalankan bagi mengatasi masalah harga getah.
Demo pesawah Pekan di Rompin
Dalam perkembangan berbeza, sekumpulan pesawah Pekan pula hari ini turut berhimpun di Rompin bagi membantah layanan PadiBeras Nasional (BERNAS) terhadap mereka yang didakwa tidak adil.
Difahamkan pesawah daripada empat kampung dalam mukim Bebar itu tidak berpuas hati dengan potongan harga padi berdasar sistem pemutuan sedia ada.
“Pada saya, inilah contoh klasik yang berulang kembali dalam bentuk baru tetapi isinya sama, iaitu sistem padi kuncha yang membelit dan menindas pesawah sejak sekian lama.
“Dan akhirnya kemiskinan akan tetap menjerut pak tani,” tulis seorang pemimpin kanan PKR Ahmad NizamHamid dalam laman perkongsian gambar Instagram.
Dalam perhimpunan pagi tadi, pesawah antaranya membawa plakad bertulis “Beras Nasional fikir secara rasional” dan “Kerjalah dengan ikhlas, kita Melayu sama Melayu”.