Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Guru-guru yang membantah pelaksanaan Penilaian Sistem Berasaskan Sekolah (PBS) akan menghantar memorandum kepada perdana menteri menuntut ia dimansuhkan serta-merta, kata pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Menurut Izzat, pihaknya setakat ini berjaya mendapat tandatangan lebih 500 orang guru yang menyokong pemansuhan tersebut.

"Hari ini saya secara rasminya akan menghantar memorandum dengan pelbagai cara supaya ia segera sampai kepada perdana menteri Malaysia," katanya dalam sidang media yang dinamakan 'Himpunan 222' di Bangi petang ini.

Menurut Izzat, beliau tidak akan teragak-agak untuk memanjangkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya tiada sebarang respons daripada Datuk Seri Najib Razak selepas memorandum itu dihantar kepadanya.

"Kita memberi tempoh seminggu sebelum kami jawatankuasa SGMM menghantar memorandum terus kepada Istana Negara," katanya lagi.

Jelasnya, tindakan tersebut didorong oleh pertemuan dengan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang tidak membawa sebarang hasil.

Lebih mengecewakan katanya, beliau menerima arahan agar ditukarkan tempat bekerja selepas pertemuan itu.

"Datuk Seri Idris Jusoh minta (saya) bersabar (tetapi) lima jenis pegawai datang berjumpa saya selepas saya berjumpa beliau.

"Apa yang terjadi pada saya? Ditukarkan serta-merta," katanya.

Katanya lagi, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching pula mengeluarkan kenyataan mengelirukan apabila memberi maklum balas kepada satu kenyataan yang tidak pernah dibuat pihaknya.

"Dia kata kami desak tangguh PBS supaya diganti dengan sistem matrikulasi," kata Izzat.

Pelaksanaan PBS dibantah sebilangan guru kerana didakwa mengganggu tugas pengajaran dan pembelajaran guru kerana dibebankan dengan tugas perkeranian untuk memasukkan data penilaian murid-murid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS