Bekas perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kaitan dengan seminar kontroversi pemikir Dr Kassim Ahmad, di Putrajaya pada 16 Februari lalu, kata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata pihaknya tidak nampak sebarang keperluan untuk memanggil Dr Mahathir sejak membuka kertas siasatan ke atas penganjuran seminar itu.
"Dr Mahathir tidak terbabit dalan isu ini. Yayasan Perdana bukanlah penganjur kepada seminar itu, sebaliknya kami sedang mengenal pasti penganjur kepada seminar tertutup itu," kata Paimuzi seperti dilaporkan Berita Harian , hari ini.
Beliau turut dilaporkan menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkenaan seminar itu agar menyalurkannya kepada JAWI.
JAWI sebelum ini dilaporkan diarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk bertindak terhadap Kassim kerana didakwa mempertikai hadis yang boleh mengelirukan umat Islam di negara ini.
Seminar "Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian Semula" pada Ahad lalu, dianjurkan Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan dirasmikan Dr Mahathir.