Selepas kontroversi pemikiran sarjana Kassim Ahmad muncul semula, khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini mengingatkan umat Islam terhadap ancaman anti-hadis.
Khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu meletakkan anti-hadis sebaris dengan “Islam Liberal”, Syiah, serta fahaman moden seperti kapitalisme, pluralisme, sekular dan komunisme.
"Maka kita hendaklah menolak fahaman sedemikian kerana menolak Hadith Rasulullah beerti menolak kepercayaan kepada Rasulullah,” khutbah itu dipetik.
Mimbar juga menyeru umat Islam mempertahankan dan mengukuhkan rasa cinta terhadap Allah dan rasul-Nya serta menentang segala bentuk penghinaan terhadapnya.
Khutbah itu tidak menyebut secara langsung nama Kassim ( kanan ).
Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semasa, ia dipercayai merujuk kepadanya.
Tambahan lagi, pelbagai pihak bangkit menyatakan bantahan keras terhadap idea Kassim yang dibangkitkan semula dalam seminar pemikirannya di Putrajaya hari minggu lepas.
Kassim sendiri pernah menafikan sebagai andi-hadis sebaliknya hanya menolak hadis yang didakwanya bertentangan dengan al-Quran.
Kepentingan hadis
Sementara itu, mimbar juga menolak dakwaan yang mengatakan berlaku pendewaan terhadap Nabi Muhammad melalui syahadah kedua.
Khutbah menegaskan, beriman kepada rasul termaktub dalam Rukun Iman manakalah syahadah, yang turut mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah pula sebahagian Rukun Islam.
Sebagaimana kita diwajibkan mentaati Allah SWT, kita juga diwajibkan mentaati Rasulullah SAW dengan mematuhi segala yang diperintahkan oleh Baginda SAW.
Kassim dalam seminar pemikirannya di Putrajaya Ahad lalu mengkritik “pendewaan” terhadap Nabi Muhammad dalam syahadah kedua.
Khutbah juga menegaskan hadis penting dipatuhi kerana ia menjadi sumber penting bagi mengelakkan kesesatan dalam kehidupan.