Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Hasil minyak perlu dikawal Parlimen
Diterbitkan:  Feb 20, 2014 3:34 PM
Dikemaskini: Feb 21, 2014 12:29 AM

MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mencadangkan agar satu tabung hasil minyak negara diwujudkan untuk mengelakkan kerajaan daripada menyalahgunakan hasil Petronas sebagai tabung peribadi.

Membandingkannya dengan tabung kumpulan persaraan Norway yang mencecah RM2.7 trilion, Nurul Izzah kesal dengan jumlah tabungan dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang mendapat sumbangan dari Petronas tetapi dakwanya hanya mempunyai tabungan berjumlah RM5.43 bilion.

Nurul Izzah mahu tahu ke mana perginya kekayaan minyak negara di waktu Petronas mengumumkan keuntungan terkumpul berjumlah lebih daripada RM700 bilion sejak ia ditubuhkan 40 tahun lalu.

"Petronas tidak boleh terus-menerus dijadikan sebagai tabung peribadi perdana menteri dan anggota kabinetnya dengan penggunaan hampir 40 peratus daripada hasil pendapatan yang dijana oleh hasil petroleum dalam belanjawan; berbanding dengan Norway yang cuma membenarkan 4 peratus digunakan.

"Hakikat begini menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak sedar bahawa sumber kekayaan hasil minyak ini akan kering akhirnya," kata Nurul Izzah dalam kenyataannya.

Sejak KWAN ditubuhkan pada tahun 1988, Petronas menyumbang kira-kira RM500 juta ke dalam tabung itu namun jumlahnya dinaikkan kepada RM1 bilion bermula tahun 2012.  

Menurut Nurul Izzah, hasil minyak negara perlu diurus seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberikan pulangan dividen 6.35 peratus kepada pencarumnya pada tahun 2013.

Tambahnya, cadangannya itu akan meletakkan tabung daripada hasil minyak itu di bawah pengawasan Parlimen secara terus.

Wang dari tabung tersebut kemudiannya, kata Nurul, hanya boleh dikeluarkan pada masa-masa kecemasan dengan persetujuan dua pertiga daripada anggota-anggota Parlimen.

Beliau berharap cadangannya itu mendapat sokongan dwipartisan demi masa depan generasi masa depan Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS