Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai 20,000 orang penduduk Balakong, Selangor didakwa berdepan kesengsaraan hidup apabila bekalan air di kawasan mereka terputus sejak 10 hari lalu.

Tinjauan Malaysiakini di Taman Impian Ehsan, Taman Impian Indah dan Kampung Kenangan Indah mendapati, sebahagian penduduk berang dengan masalah yang didakwa pertama kali berlaku sejak 15 tahun itu.

Seorang peniaga kecil yang enggan namanya didedahkan mempersoalkan tindakan SYABAS yang didakwanya tidak memberikan notis dan penghantaran air pula sekarang tidak menentu.

"Mereka ini nak kita semua di sini mati.  Hantar air tak cukup, sini ramai orang tinggal, beribu orang.

"Kita susah kena ambil air sampai ke Kajang. Ini dah 10 hari. Macam ini lama lagi matilah macam ini," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Cuti angkut air

Sementara itu, Mohd Nor Asnan Awang ( kiri ), 33, seorang kakitangan awam pula berkata tidak tahan lagi mengangkat air ke pangsapuri tingkat tiga yang disewanya tiap hari.

"Saya rasa nak keluar daripada taman ini, nak duduk di rumah kakak yang di taman lain.

"Kita orang Islam, nak sembahyang kena banyak air untuk bersihkan badan,” katanya.

Mohd Nor juga berkata, beliau terpaksa mengambil cuti untuk mengangkat air ekoran SYABAS didakwa tidak mempunyai waktu yang tepat menghantar air ke perumahannya.

Malah, pada satu-satu masa, beliau terpaksa mengangkat empat tong air menggunakan motosikal.

Mohd Nor juga berkata, beliau sudah beberapa hari tidak makan di rumah kerana mahu menjimatkan air.

Manakala, Shashitharan Chelliah ( kanan ), 50, pekerja teknikal di sebuah kilang pula berkata, oleh kerana bekalan air melalui lori tidak cukup, banyak berlaku kes pergaduhan kerana berebut air.

Malah, katanya, terdapat juga satu kes “rompak lori air” beberapa hari yang lalu kerana terdesak.

"Kalau bergantung pada lori memang tak cukup. Satu keluarga bawa sampai 15 ke 16 tong. Sini ada berapa taman? Dalam taman ada berapa banyak blok? Macam mana nak cukup?” katanya.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada 15 Februari lalu yang menyaksikan penduduk warganegara asing merampas sebuah lori tangki air semasa SYABAS mengedarkan air di bermasalah.

Restoren rugi

Sementara itu, pekerja restoran Chow Yuet Ngan, 42, berkata kedai makan juga mengalami masalah sebelum ini ekoran terputusnya bekalan.

Ketika itu, kata Chow, air terpaksa diangkut dari rumah dan kilang tempat abangnya bekerja antara lima hingga enam kali sehari untuk kegunaan kedai.

"Kita tak puas hati dengan polisi air tidak boleh diedarkan di tempat perniagaan.

"Kalau begini, adakah maksudnya kita tak perlu berniaga?" soalnya.

Menurutnya lagi, situasi itu juga menimbulkan kesangsian kepada pelanggannya yang datang menjamu selera.

"Kadangkala pelanggan akan tanya mana datangnya air ini, adakah air ini bersih,"katanya.

Sementara seorang lagi pemilik restoran, Nasir Khan Abdulmanapu ( kanan ),40, pula berkata, beliau mengalami kerugian antara RM300 hingga RM400 sehari sejak masalah itu

"Bisnes pun slow ,” katanya.

Pencemaran ammonia

Sementara itu, SYABAS dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, gangguan bekalan air tidak berjadual itu melibatkan 27,003 rumah di beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat.

Menurutnya, masalah itu antaranya berpunca daripada pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat.

Bagaimanapun, menurut SYABAS, mereka telah mengaktifkan pelan tindakan kecemasan bagi memantau dan mengurus penghantaran bantuan air kecemasan menggunakan lori tangki dan tangki statik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS