Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan melayan sebarang “serangan” BN terhadapnya ekoran menjadi calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Sebaliknya, beliau berkata hanya akan menjawab perkara berkaitan pembangunan Kajang semata-mata.

"Belum lagi apa-apa, lambat  lagi penamaan calon, mereka (BN) serang macam-macam, habis dia 'londeh' saya dah.

"Hari-hari mereka (BN) 'serang', saya  kata 'Anwar Ibrahim tak layak' (jadi ADUN Kajang).

"Kita nak jawab? Tak payah," katanya dalam  majlis pelancaran jentera pilihan raya PKR di Sungai Sekamat, Kajang, malam tadi.

Takut punca spekulasi

Sementara itu, Anwar juga berkata, ketakutan pemimpin Umno terhadap “kekuatan” Pakatan Rakyat juga menyebabkan ditimbulkan spekulasi beliau mahu menjadi menteri besar Selangor.

"Sebab apa orang macam (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), (Tun) Daim Zainuddin dan menteri-menteri takut betul, sampai kata saya nak ambil alih MB.

"Sebab mereka tahu kita akan guna kekuatan bersama PAS, DAP dan PKR untuk menjadi model.

"Kalau negeri Selangor betul-betul menjadi negeri berjaya, maju, khidmat baik kepada rakyat dengan sendirinya terjawab semua serangan,” katanya.

Tembusan Internet tinggi di Kajang

Sementara itu, beliau menyarankan kepada jentera pilihan raya parti itu mewujudkan satu laman web berkaitan Kajang bagi memudahkan akses.

Cadangan itu timbul selepas melihat satu laporan bahawa penggunaan media Internet lebih dekat dengan masyarakat Kajang berbanding saluran televisyen.

"Di Kajang ini bila saya tengok laporan, penembusan Internet cukup kuat malah orang kajang tengok berita melalui Internet lebih daripada yang mengikuti berita di TV3, RTM.

"Penggunaan Internet di Kajang cukup kuat, lebih tinggi daripada semua media.

"Ini peringatan kepada jentera ada semua berita  tentang kajang ini, ada website khas Kajang supaya semuanya dapat senang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS