Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dakwaan bahawa pilihan raya kecil DUN Kajang satu pembaziran menyebabkan Ahli Parlimen Shah Alam mencabar BN supaya tidak meletakkan calon dan memberikan laluan mudah PKR menang tanpa sebarang perebutan kerusi.

Khalid Samad berkata Pakatan Rakyat yakin calon mereka akan menang seperti dalam pilihan raya umum ke-13 lalu sekalipun meletakkan calon yang kurang dikenali sebelum ini iaitu Lee Chin Cheh.

"Ada orang kata PRK (ini) membazir, tapi apabila Lee Chin Cheh letak jawatan dia tak payah bayar apa-apa. Percuma.

"Belanja hanya perlu apabila ada pertandingan. BN akan letak calon bertanding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru ada belanja dikeluarkan.

"Mudah saja kepada BN, tak payah letak calon. Tak payah BN buang masa dan buang duit rakyat," katanya ketika berucap dalam ceramah pilihan raya kecil DUN Kajang malam di Padang Pusat Komuniti Kampung Sungai Kantan.

Bagaimanapun, jika BN masih mahu bertanding boleh mencadangkan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentang Anwar di Kajang.

Di samping itu, kata Khalid, BN boleh mengetengahkan dua lagi nama pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Noh Omar.

"Kalau hendak bertanding juga, letaklah Noh Omar MP Tanjung Karang, boleh kita hilangkan deposit dia.

"Kalau tidak pun letaklah Najib biar kita hantar dia balik pergi Pekan.

"Kalau tidak pun, letaklah Tun Mahathir, kawan tu teringin juga nak bertanding," katanya disambut sorakan hampir 200 pengunjung yang hadir di ceramah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS