Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan untuk menyentap "Langkah Kajang" PKR.
Dalam sidang medianya di Kajang hari ini, Zaid berkata sekiranya beliau menang, ia dapat memastikan Tan Sri Khalid Ibrahim akan meneruskan khidmatnya sebagai menteri besar Selangor.
Zaid juga berkata pilihan raya kecil itu diadakan ekoran peletakan jawatan Lee Chin Cheh secara tiba-tiba, untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai "tindakan politik yang tidak sesuai".
Beliau mendakwa bahawa jika Anwar menjadi ADUN dan cuba untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, krisis politik akan berlaku jika beliau enggan meletakkan jawatan secara sukarela.
Zaid berkata sekiranya ketua pembangkang itu menang, Anwar mungkin tidak boleh meyakinkan Sultan Selangor dan rakan sekutu PAS untuk menerimanya sebagai menteri besar yang baru.
"Cara dan teknik Anwar menggunakan kedudukan politiknya dalam PKR untuk merampas kuasa dari Khalid akan membawa pada pepecahan besar Pakatan Rakyat," katanya.