Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini menyelar sikap segelintir muda mudi Islam yang meraikan Hari Kekasih yang disifatkan sebagai permulaan ke arah peningkatan masalah sosial.
Menurut khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, budaya Barat itu mendorong ke arah penipuan, kecelaruan mental disebabkan alkohol, pengguguran kandungan dan kes buang bayi.
“...kita umat Islam sedang berada di masjid untuk mendengar ucapan khatib dan mengagungkan kebesaran Allah, sedangkan di luar sana berkemungkinan ada segelintir muda mudi Islam yang terlibat dengan majlis sosial seumpama Valentine’s Day , yang dirayakan oleh pasangan kekasih,” menurut mimbar Jumaat.
Khutbah juga mengaitkan gejala itu dengan penjajahan pemikiran yang menyebabkan umat Islam terjebak dengan “budaya kebebasan melampau” hingga tergelincir dari sempadan ajaran agama.
“Bayangkanlah, apakah yang bakal terjadi bagi masa depan umat Islam terutamanya kepada generasi muda hari ini jika budaya kesesatan ini terus dijadikan amalan?” soal khutbah lagi.
“Sudah pastilah musibah yang lebih besar akan berlaku dalam negara ini seperti porak peranda dan kemusnahan akhlak akan berleluasa berlaku dalam masyarakat kerana generasi muda inilah cerminan masa hadapan sesebuah negara dan bangsa.”
Khutbah juga menegaskan supaya umat Islam, khususnya remaja, tidak meniru budaya kaum musyrik serta meninggalkan perayaan yang tiada dalam syariat Islam.
Hari Kekasih diraikan di banyak negara di seluruh dunia pada 14 Februari (hari ini) setiap tahun.