Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia yang sebelum ini menawarkan ganjaran wang untuk menampar MP Seputeh Teresa Kok, hari ini menjelaskan yang ia hanya satu tawaran untuk "tampar-tampar sayang" dan bukannya arahan untuk "mencederakan orang".
Jurucakap gabungan itu Zulkifli Shariff berkata, tawaran RM500 – dan kemudian dinaikkan kepada RM1200 itu juga bukan ugutan jenayah, sama seperti dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi.
"Bila kita keluar tawaran kita akan beri ganjaran, kita bersedia hadapi (tindakan undang-undang).
"Tamparan itu pun bukan mencederakan orang , tampar amaran, orang kata tampar-tampar sayang," kata Zulkifli pada sidang media petang ini.
Peguam mewakili gabungan itu, Khairul Azam Aziz menjelaskan yang tawaran itu bukan ancaman kerana ia bukan satu arahan daripada satu pihak kepada pihak lain.
"Tiada sebarang ugutan yang jelas berlaku, melainkan dinyatakan dengan jelas untuk 'menampar kamu'.
"Ia adalah satu tawaran sahaja tidak menjurus kepada satu ugutan, tidak ada satu pernyataan terus 'saya akan tampar', katanya.
Jelasnya lagi, tawaran itu juga bukan satu isu utama yang diketengahkan gabungan itu.
Sebaliknya dakwa beliau, ia adalah reaksi kepada semua "provokasi selama ini".
Jelasnya, tawaran itu adalah satu "hipotesis" kepada kemungkinan yang akan berlaku jika provokasi yang dimaksudkan masih lagi berterusan.
"Anda ditanya mengenai sesuatu hipotesis dan (ia) masih belum berlaku, tetapi apa yang kita katakan sekarang ialah tawaran itu hanya satu tawaran, bukan ancaman," katanya selepas sidang akhbar itu.
Sementara itu, Sunny Goh daripada Pertubuhan Kebajikan Insan Parti Malaysia (Perkib) yang turut bercakap pada perhimpunan pada acara 6 Februari itu mendakwa menerima satu ugutan menerusi laman Facebook pada keesokan harinya.
Beliau bagaimana pun masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung ugutan itu.