Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding merebut jawatan presiden PKR manakala penyandang Datuk Seri Wan Azizah Ismail, yang juga isterinya, mahu meluangkan lebih masa dengan keluarga.
“Di tahun-tahun kebelakangan ini, Azizah membayangkan untuk menyokong dari belakang, beliau mahu meluangkan lebih masa bersama cucu dan sekali gus menjaga datuknya,” Anwar dipetik sebagai berkata, sambil berseloroh.
Dalam wawancara bersama The Ant Daily yang disiarkan hari ini, Anwar ( kiri ) berkata, sebagai seorang demokrat dan tidak lagi dikurung dalam penjara, beliau kini menimbangkan dengan serius kemungkinan itu.
“Ketika di penjara tidak mengapa tetapi saya sudah keluar dan di tengah-tengah pertempuran politik ini, saya menimbangkan menerima pencalonan sebagai presiden secara serius kerana tiada apa yang dapat menghalang siapa saja dicalonkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan bertanding dalam pemilihan PKR kali ini.
Anwar bagaimanapun pada mulanya tidak menjawab secara langsung, bahkan menyoal kembali: “Patutkah saya?”.
Setelah wartawan berkata patut, ketua pembangkang kemudiannya menambah: “Oleh itu saya akan fikirkan saranan kamu secara serius”.
Langkah Anwar itu dilihat ekoran desakan dari dalam parti yang mahu beliau memikul tanggungjawab secara rasmi ekoran kedudukan ketua umum tiada dalam hierarki parti.
Jika hasrat itu menjadi kenyataan, Anwar juga dilihat bakal melalui laluan mudah dan hampir pasti tiada pihak yang akan tampil merebut kerusi sama.