Kumpulan kakitangan PKNS Holdings yang ditamatkan kontraknya secara mendadak awal minggu ini menafikan mereka mempunyai hubungan dengan pemimpin kanan PKR Azmin Ali.
Timbalan presiden PKR itu, yang disingkirkan daripada lembaga pengarah PKNS bulan lalu, berkonflik secara terbuka dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (kiri), yang juga pengerusi perbadanan itu.
Seorang kakitangan PHSB yang pernah berkhidmat dengan PKNS mempersoalkan mengapa Azmin dikaitkan dengan kumpulan 19 pekerja yang ditamatkan kontrak serta-merta Selasa lalu.
""Apa kepentingan Azmin dengan mereka yang kena berhenti ini?
"Saya tidak nampak semua (yang ditamatkan) kontrak itu orang Azmin. Mereka golongan profesional yang diambil untuk berkhidmat di bawah PKNS.
Baru-baru ini sebuah portal menyiarkan berita dari sumber yang didakwa rapat dengan Khalid bahawa penamatan kontrak itu bertujuan mengelakkan PKNS daripada dijadikan 'alat politik' pihak lain.
Dalam kenyataannya Khamis lalu, Khalid berkata hasil 'pendedahan' beberapa 'whistleblower' dari PKNS, beliau mendapati kakitangan kontrak ini diambil secara terus tanpa melalui proses temuduga biasa.
Bekas kakitangan PHSB itu memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan kesemua kakitangan PHSB ditemuduga, malah ada di kalangan mereka ditemuduga sehingga tiga kali sebelum diambil bekerja.
Menurutnya, yang telah berhenti akhir tahun lalu, kakitangan PHSB ini tidak dicadangkan atau disokong oleh Azmin sewaktu ahli parlimen itu menyertai ahli lembaga pengarah PKNS.
Menurut sumber, kumpulan kakitangan yang disingkirkan itu juga tidak ada hubungan dengan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat, malah dilantik atas keupayaan profesional masing-masing.
"PKNS perlu bersaing dengan syarikat seperti Dijaya, SP Setia dan sebagainya. Sebab itu mereka perlukan 'talent' dari luar yang berpengalaman luas.
"PHSB ambil mereka yang berpengalaman dari syarikat besar di bawah bidang masing-masing seperti SP Setia, CIMB Investment Bank dan lain-lain serta dibayar mengikut skala gaji berlainan," kata beliau.
Dalam sidang media baru-baru, Khalid sendiri berkata Azmin (kanan) 'tidak bersalah' sementara menunggu hasil siasatan mencari siapa yang bertanggunjawab mengambil pekerja kontrak bagi jawatan yang sudah diisi dan dibayar gaji lumayan oleh PKNS.
Sumber yang dekat dengan PHSB itu menambah: "Kalau nak buat penyusunan semula korporat, kena ada kajian-kajian dan ia mengambil masa (bukan dipecat 24 jam)."
"Apa salahnya beritahu mereka dua atau tiga bulan sebelumnya bahawa kontrak mereka akan ditamatkan," kata beliau.
Susulan kenyataan menteri besar itu, Azmin semalam mengingatkan Khalid supaya berhenti menyalahgunakan jentera kerajaan negeri bagi menghukum pesaing politiknya.
Wakil rakyat Bukit Antarabangsa itu turut menyifatkan pemecatan mendadak itu "amat tidak bertanggungjawab" dan keputusannya mesti disemak semula .
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyingkiran kakitangan PKNS Holdings itu tiada kaitan dengan politik setelah bertemu dengan mereka dan mendapat penjelasan Khalid.
Beliau menyatakan Dr Alif Aiman Abdullah dan kakitangan terlibat telah bertemu dengannya meluahkan perkara tersebut semalam.
Anwar berkata beliau akan berbincang dengan pihak terlibat termasuk Khalid dan Azmin bagi mencari penyelesaian terbaik perkara ini.
Dr Alif kemudiannya memberitahu Malaysiakini beliau berasa 'sedikit lega' apabila dapat menyuarakan permasalahan mereka kepada pengerusi Pakatan Rakyat itu.