Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Isu penamatan perkhidmatan pekerja kontrak anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan mengganggu kempen pilihan raya kecil (PRK) Kajang kerana ia bukan isu politik, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, setelah mendapat penjelasan dari pihak terlibat termasuk Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan wakil kakitangan kontrak itu Dr Alif Aiman Abdullah, beliau menganggap isu itu tiada kena mengena dengan perseteruan Khalid dengan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali.

"Saya periksa semua media terrmasuk TV3 dan mendapati Tan Sri (Khalid) tidak pernah menyebut atau merujuk kepada Azmin. Ini soal pentadbiran korporat," kata Anwar kepada media di Kajang hari ini.

Menurut beliau, isu antara Khalid dan Azmin dimainkan oleh media Umno semata.

Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan semua yang terlibat bagi mencari penyelesaian yang baik.

"Kerana kena waspada mainan media Umno. Yang kata Tan Sri Khalid serang (Azmin) tidak ada. Jangan beri reaksi kepada media fitnah."

"Saya lebih nak tumpu soal kakitangan (yang terlibat) dan tangani dgn baik," katanya.

Selasa lalu, anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd  (PHSB) dilaporkan menamatkan serta-merta 19 kakitangan kontraknya.

Kontroversi pemecatan itu berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Abdul Khalid dengan Azmin.

Surat penamatan khidmat mereka ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Khalid semalam mendakwa kakitangan yang dipecat tersebut bergaji tinggi dan mempunyai kerja yang bertindih dengan kakitangan tetap PKNS.

Mereka juga didakwa diambil bekerja tanpa temuduga dan dengan persetujuan lembaga pengarah PKNS yang turut dianggotai oleh Khalid dan Azmin sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azmin dilaporkan berkata bahawa Abdul Khalid sepatutnya menarik balik surat penamatan kontrak dan meminta maaf kepada kakitangan terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS