PKR sedia ditolak rakyat dalam pilihan raya kecil Kajang sekiranya tindakan mengosongkan kerusi DUN itu bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding , dianggap satu keputusan memanipulasi sistem pilihan raya, kata Ketua Strategi PKR, Rafizi Ramli.
Menurut Rafizi, ia adalah satu pertimbangan berisiko besar yang perlu diambil demi kepentingan orang ramai, dengan mempertaruhkan orang nombor satu Pakatan Rakyat itu sendiri.
"Ada yang kata keputusan ini mempermainkan demokrasi. Tidak.
"Kita ambil risiko besar memulangkan keputusan ini kepada rakyat.
"Ia demokratik dan ia juga sadistik.
"Kita letak orang nombor satu kita dalam tangan pengundi-pengundi Kajang yang marah.
"Kita jelaskan dan kita minta maaf. Kalau penerangan dan minta maaf kita ini tidak cukup, Anwar Ibrahim akan dihukum.
"Kalau ini permainan PKR yang perlu ditolak, tolaklah kami. Kami tidak memanipulasi sistem seperti yang dilakukan Umno," kata MP Pandan itu di forum 'Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya' di ibu negara, semalam.
Sebak seketika dengan mata kemerah-merahan sehingga ucapannya tersekat-sekat, Rafizi berkata ia adalah satu keputusan yang menyakitkannya tetapi perlu dilakukan demi tanggungjawab kepada orang ramai.
"Ia menyakitkan saya kerana ia adalah idea saya untuk mengheret Anwar Ibrahim ke dalam perkara ini (sebak) dan ia bukan perkara yang mudah.
"Namun apabila tanggungjawab ini jatuh di atas bahu anda (sebak), apa lagi yang anda boleh lakukan?" katanya.
Apabila kembali tenang, Rafizi menjelaskan langkah itu akan membolehkan Pakatan Rakyat mengekang strategi politik perkauman Umno yang didakwanya semakin galak mengizinkan bibit-bibit ketegangan kaum untuk bercambah seperti demonstrasi-demonstrasi perkauman di Pulau Pinang baru-baru ini.
Katanya lagi, insiden-insiden sama juga pernah berlaku di Selangor dan demografi Selangor yang menyerupai Malaysia menuntut kehadiran seorang tokoh politik nasional yang mampu mengendalikan sebarang kemungkinan meletusnya ketegangan di antara kaum.
"Ini bukan soal menukar MB semata-mata, ini bukan soal masalah dalaman PKR semata-mata. Ini soal kita perlu berdepan dengan satu serangan politik yang kita perlu bersedia (menghadapinya).
"Kita tahu permainan politik dan agama ini perlu dijawab dengan permainan politik juga.
"Walaupun kita hormat Tan Sri Khalid (menteri besar Selangor) dan kita hormat kebolehannya mentadbir tapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa Tan Sri Khalid bukan seorang ahli politik yang berkemahiran dan berpengalaman untuk berhadapan politik perkauman dan agama Umno ini," katanya.
Sementara itu, Rafizi menjelaskan pengumuman untuk meletakkan Anwar bertanding dilakukan dengan persetujuan penuh Pakatan Rakyat walaupun pada mulanya ia mengejutkan beberapa pimpinan kanan kerajaan, bekas menteri besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Jelasnya, rundingan untuk menyokong langkah itu dibuat secara rahsia dan pada masa sama, PKR juga "tidak menguruskan" bagaimana kerahsiaan itu dikomunikasikan sesama pimpinan parti masing-masing.
"Cantiknya langkah taktikal ini adalah kerana ia 'mengejutkan' dan ya, ia mengejutkan ramai orang kerana cara persetujuan itu diolah," katanya.
Menurut Rafizi, persetujuan PAS diperolehi pada 27 Januari menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali sementara persetujuan DAP pula diperolehi pada hari Isnin, 24 Januari sebelum pengumuman itu dibuat Tan Sri Khalid Ibrahim pada 28 Januari.
Aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang turut menjadi ahli panel, menyokong sepenuhnya langkah itu yang akan membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor.
Menurutnya, Anwar akan boleh turut serta dalam persidangan Raja-Raja Melayu selaku menteri besar Selangor dan bercakap mewakili 52 peratus pengundi yang memilih Pakatan dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Kalau Lim Guan Eng yang bercakap tentang kalimah Allah dan Tanah Melayu, siapa sahaja yang akan ambil peduli.
"Tetapi kalau Anwar Ibrahim yang bercakap tentangnya, ia strategi yang berbeza sama sekali," katanya.
Forum malam tadi yang dianjurkan radio internet Radio Bangsar Utama turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan dimudahcara bekas pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah.