Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mendesak kerajaan mendedahkan kos yang digunakan bagi kempen pelaksaanan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sebarannya kini meluas dalam pelbagai medium seperti papan tanda jalan dan iklan di televisyen.

Menurutnya kos kempen di seluruh negara itu memerlukan kos yang tinggi dengan menggunakan wang rakyat, sedangkan kempen GST yang berbunyi "cukai turun pendapatan kerajaan bertambah adalah satu pembohongan".

"Kerajaan nak laksanakan GST tidak sebab lain kecuali nak tambah pendapatan kerajaan. Titik. Bagaimana turun cukai boleh tambah pendapatan negara.

"Ini bohong. Berapa (jumlah) guna duit rakyat untuk iklan daripada pasang papan tanda jalan untuk menipu rakyat," katanya dalam sidang media hari ini.

Khalid berkata kerajaan bermain "silap mata" dengan berkata, mengurangkan jumlah peratus pembayaran cukai tetapi sebenarnya melebarkan jumlah pembayar cukai termasuk kepada golongan berpendapatan rendah.

"Yang untung adalah orang kaya. Yang miskin, yang sebelum ini tidak pernah bayar kena bayar.

"Jangan menipu rakyat dengan iklan yang menggunakan duit rakyat bahawa GST tidak membebankan rakyat," katanya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor bahawa jika tidak melaksanakan cukai itu, negara berdepan dengan bankrap, Khalid berkata kenyataan itu menggambarkan ekonomi negara tenat dan berada diambang bankrap.

"Ia juga menafikan propaganda BN bahawa ekonomi kita adalah baik," katanya sambil menambah hutang negara kita kini mencecah kira-kira RM560 bilion.

Sehubungan itu, Khalid yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata Pakatan Rakyat mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menjelas isu pelaksanaan GST.

Katanya, beberapa pemimpin termasuk Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Ong Kian Ming dan Dr Rosli Yaakob ditugaskan menjelaskan isu tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS