Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau juga berharap agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperkenalkan semula, seperti cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu diulanginya beberapa kali dengan riak wajah gembira dalam satu sesi wawancara bersama petugas media di ibu pejabat polis Bukit Aman petang ini.

“Saya berharap perkara (kembalikan ISA) tersebut berlaku. Jika parlimen fikir sesuai dengan kembalikan ISA, kenapa tidak? Saya harap begitu,” katanya ketika menjawab soalan wartawan.

Katanya, beliau amat menyokong jika ISA diperkenalkan semula kerana Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) lebih dikhususkan untuk menangani masalah jenayah.

“(Sosma sudahpun) cukup tapi apa salah kalau ada ISA. Sosma sesuai dalam keadaan tertentu, ISA sesuai dengan keadaan tertentu.

“Saya sokong sangat, apa sahaja untuk memastikan ketenteraman dan kesejahteraan negara kita tetap sokong," katanya.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Khalid turut mengumumkan pihak polis akan menubuhkan satu jabatan baru untuk memantapkan integriti dan pematuhan piawai pasukan itu.

Katanya, Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) itu bukan hanya akan mengesan penyelewengan dalam PDRM tetapi menguatkuasa kesemua undang-undang tatatertib pegawai dan anggota polis.

Selain meningkatkan disiplin anggota PDRM, usaha berdasarkan strategi lima tahun itu juga bertujuan untuk memperbaiki persepsi ke atas pasukan polis, kata Khalid.

Tambahnya, unit berkenaan akan diketuai oleh pegawai berpangkat komisioner polis.

"Jadi strukturnya telahpun kita kemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan kita sedang menunggu kelulusan untuk kita memulakan tugas-tugas ini.

"Sementara itu, Jabatan Tatatertib Bukit Aman akan melaksanakan tugas-tugas JIPS ini," katanya.

Penubuhan jabatan baru itu dijangka bagi memperbaiki imej pasukan berkenaan yang sering menerima kritikan, antaranya berhubung layanan ke atas tahanan, garis panduan ketika operasi ke atas suspek jenayah dan semasa mengawal perhimpunan.

Kritikan seperti itu sering disuarakan oleh kumpulan pemerhati hak asasi, yang turut menggesa agar kerajaan mempertimbang semula cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Cadangan itu bagaimanapun ditentang oleh Kementerian Dalam Negeri kerana IPCMC didakwa mengenepikan kuasa mahkamah sebagai pengadil dan hak kepada tertuduh untuk mendapatkan rayuan di mahkamah.