Kerajaan Selangor bercadang mahu memperkemaskan tatacara operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan serbuan dan rampasan Bible berbahasa Melayu ke atas Persatuan Bible Malaysia baru-baru ini.
"JAIS telah buat laporan (mereka) dan kita akan perkemas dari sudut SOP," kata Exco hal ehwal agama Islam, Sallehen Mukhyi dalam sidang medianya di Shah Alam, pagi ini.
Beliau juga menegaskan pihaknya tidak akan mengulas lagi berhubung serbuan dan rampasan tersebut memandangkan kes itu kini dalam siasatan polis.
"Sebab kes ini dah jadi kes polis, jadi kita serah kepada kebijaksanaan JAIS dan PDRM untuk selesaikan kes ini, mengikut peringkat undang-undang," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kenapa SOP berkaitan perlu diperkemas dan bahagian mana yang perlu penambahbaikan.
Sallehen hanya mengiyakan cadangan wartawan yang bertanya jika beliau bercadang memperkemaskan tatacara tersebut agar persetujuan exco perlu diperolehi sebelum sebarang serbuan dibuat.
Dalam sidang media yang sama, ADUN Sabak itu turut diasak oleh wartawan berulang kali tentang pendiriannya terhadap serbuan JAIS ke atas Persatuan Bible Malaysia.
Ditanya sama ada tindakan itu betul atau tidak, Sallehen menjawab ringkas: "Ia betul daripada segi SOP".
Sebelum itu, Sallehen meluangkan masa selama sejam bertemu editor The Herald, Paderi Lawrence Andrew, MP Klang Charles Santiago dan ADUN Seri Andalas, Xavier Jeyakumar di pejabatnya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sallehen turut mengumumkan penubuhan majlis dialog antara agama bagi mengatasi sebarang masalah di antara agama di negeri pada masa akan datang dan pandangan mereka akan disampaikan kepada pihak istana dari masa ke masa.
"Saya bersyukur dengan pandangan kawan-kawan dan satu majlis perundingan perpaduan kaum dapat diwujudkan supaya kita dapat melakukan satu persefahaman supaya sebarang masalah yang merentasi agama kaum lain dapat diatasi.
"Sebab itu satu program yang kita namakan 'inter faith dialogue' (dialog antara agama) dapat diwujudkan untuk jaga keharmonian antara kaum.
"Saya juga tidak akan berhenti di sini dan akan mengajak semua yang terlibat dalam menjaga agama ini - untuk sentiasa berunding dengan Tuanku tentang perkara-perkara yang akan juga melibatkan perkara lain dalam konteks keharmonian," katanya.