Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibrahim: PERKASA boleh ganti Umno demi bela Melayu

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA menawarkan diri untuk mengambil alih peranan Umno dalam membela nasib orang Melayu kerana bimbang masyarakat tersebut kehilangan pengaruh politik.

Presiden NGO tersebut, Datuk Ibrahim Ali berkata PERKASA kini juga hanya memberi sokongan bersyarat kepada BN dan tidak akan menjadi “barua” atau “perkakas” kepada Umno.

"Memang Umno menjaga kepentingan agama dan Melayu tetapi kalau Umno sudah lemah dan tidak bertaring, ayuh, PERKASA boleh jadi galang ganti untuk pertahankan kepentingan bangsa dan agama.

"Jangan retorik masa perhimpunan agung, jangan retorik masa pilihan raya, rakyat sudah cerdik, rakyat sudah tahu," kata Ibrahim yang menambah, struktur PERKASA kini lebih teguh dengan 500,000 anggota.

Menurut Ibrahim, walaupun PERKASA menyokong BN pada pilihan raya lalu, ia bukan satu jaminan komitmen yang sama akan dizahirkan PERKASA pada pilihan raya akan datang.

"Kita bagi sokongan pada Umno, bukan kita jadi perkakas atau alat kepada Umno jauh sekali jadi barua mana-mana pemimpin.

"Kali ini kita tengok, kalau parti bagus, tapi calon tak bagus, kita bakul sampahkan sahaja

"Sokongan kita kali ini bersyarat, kita tak mahu apologetik lagi," kata Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS