Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jan kaji langkah pastikan gaji selari kos hidup
Diterbitkan:  Dec 21, 2013 3:13 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah dalam usaha memastikan kadar gaji rakyat selari dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Kajian mengenainya sedang berjalan dan Insya-Allah pada Januari (2014), keputusan akan diperoleh dan dari situ kita akan putuskan langkah mana yang akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar mengenai Wakaf anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai rungutan daripada rakyat tentang kenaikan kos sara hidup yang dilihat tidak seiring dengan pendapatan mereka.

Ahmad Husni berkata kerajaan juga dalam masa yang sama sedang menjalankan kajian berkenaan rasionalisasi subsidi, bertujuan untuk memaksimumkan bantuan kepada golongan sasaran melalui penyemakan semula subsidi.

"Pada tahun hadapan, kita akan beri BR1M seperti biasa, namun kita akan tambahkan jumlah tersebut.

"Kita sedang melihat secara menyeluruh rasionalisasi subsidi sebagai satu model baharu, dan bagaimana kita mahu kaitkan BR1M dengan rasionalisasi ini untuk memberi manfaat yang lebih tinggi kepada rakyat berbanding sekarang.

"Kita sedang membuat kajian yang dijangka akan selesai tidak lama lagi dan kita percaya akan dapat memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya di mana akan lebih tertumpu kepada golongan-golongan yang lebih memerlukan," katanya.

Ahmad Husni berkata model yang ada sebelum ini menguntungkan rakyat secara keseluruhannya namun bersifat kurang adil di mana beliau mengambil contoh subsidi bagi minyak petrol.

Katanya berdasarkan model subsidi kerajaan yang lama, keluarga yang hanya mempunyai motosikal mendapat subsidi minyak yang sedikit berbanding keluarga yang mempunyai empat buah kereta.

"Yang kaya ini sebenarnya tidak memerlukan subsidi tetapi disebabkan sistem subsidi (yang lama) itu, kita inputkan ke dalam harga kita, jadi mereka juga menikmati subsidi tersebut.

"Jadi, kita sedang melihat kepada model sedia ada supaya kita dapat membuat satu pengukuran kepada golongan disasarkan dalam konteks memberi bantuan yang lebih tinggi," katanya.

Beliau, bagaimanapun, mengingatkan bahawa kenaikan harga barang bukan hanya disebabkan oleh pengurangan subsidi sahaja, namun turut disumbang oleh desakan pasaran.

"Tiada tempat di dunia yang kopinya berharga 10 sen pada tahun 60-an dan harga tersebut kekal hingga ke hari ini, sudah tentu ia akan naik.

"Jadi untuk jangka masa panjang, fokusnya harus kepada kenaikan gaji rakyat, yang telah menjadi objektif utama dalam program transformasi kerajaan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS