ULASAN Pepatah mata pena lebih tajam dari mata pedang mungkin tidak sesuai menggambarkan situasi yang menimpa The Heat - akhbar mingguan berbahasa Inggeris yang digantung penerbitannya baru-baru ini.
Akhbar itu jadi sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas paparan berita muka depan yang menayangkan fakta pemborosan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, menjadi siulan.
Maka, gerombolan KDN pun - tanpa teragak-agak tapi terangguk-angguk patuh menjalankan perintah. The Heat yang baru setahun jagung digantung penerbitannya.
Aneh, ketika undang-undang berkaitan penerbitan fitnah berserakan termaktub dalam buku perundangan, penggantungan tetap jadi pilihan paling mudah.
Tentu, penggantungan tidak memerlukan semakan fakta di mahkamah. Kerajaan mungkin belajar dari kemenangan Malaysiakini dalam isu permohonan permit. Mereka tidak mahu kalah lagi. Kerajaan mahu menang tanpa berlawan hujah.
Lebih-lebih lagi, kesahihan fakta mungkin lebih terserlah jika saman dilakukan. Jadi, pedulikan fakta, yang penting gantung dulu - macam kes jenayah sebelum ini - tembak dulu, kemudian cari bukti.
Bukankah itu resam Datuk Seri Zahid Hamidi?
Nasib 'Suara Keadilan'
Barangkali ada suara-suara yang membandingkan 'kebebasan' yang dinikmati Suara Keadilan yang lebih garang menganyang Umno-BN khususnya Najib dan Rosmah.
Mungkin benar. Tapi, jangan lupa akhbar rasmi PKR itu sendiri lebih awal dimangsai. Hingga kini, tiada permit penerbitan diberi sejak tiga tahun lalu.
Suara Keadilan bergerak underground walaupun 'terlepas bebas' dalam pasaran tempatan hingga mampu mencapai jualan 260,000 naskhah bagi dua penerbitan untuk seminggu menjelang pilihan raya umum lalu.
Jika punyai permit, cakupan akhbar itu pasti menjangkau ke pelosok kampung pedalaman atau ceruk Felda, ditatap warga emas yang selama ini ketagihan Utusan.
Soalnya, mengapa Suara Keadilan lebih selamat berbanding The Heat ?
Sifirnya mudah, kerajaan cuba mengelak kontroversi dan membenih simpati rakyat jika tindakan lebih keras diambil ketika Najib sibuk mencanang 'transformasi'.
Kerajaan tidak mahu pemimpin pembangkang khususnya PKR melenting seterusnya melantang hujah menggegarkan isu kebebasan media yang tidak pernah pun kunjung tiba di negara ini.
Lebih mudah menyerang The Heat . Intonasi pemimpin pembangkang dijangka tidak bergegak gempita - walaupun ada - berbanding tindakan sama dihala kepada Suara Keadilan .
Ironinya, kerajaan bersikap 'pekak badak' apabila Utusan Melayu menerbitkan berita berunsur hasutan mahupun fitnah. Tiada teguran - jauh sekali tindakan keras - sekalipun akhbar itu bertalu-talu kalah kes saman malu.
Jika dibilang dengan jari tangan dan kaki sekalipun tidak cukup untuk menghitung kekerapan berita yang mengabai sensitiviti perkauman mahupun agama.
Tetapi, sedikit pun tiada.
Tidak mengapa. Mereka juga punya hak untuk bersuara. Anehnya, semuanya halal jika Utusan Melayu. Ibarat babi disembelih macam ayam, boleh dimakan umat Islam.
Malangnya, pengamal media kurang bersatu. Media arus perdana sentiasa lambat dalam hal kebebasan media. Selain tangan terikat, ada juga yang berhujah - bukankah Utusan juga dianak tiri parti pembangkang?
Hujah itu rapuh walau sedikit terselit benak benarnya. Besar bezanya dianak tiri dengan ditindas serba serbi - sama ada dinafi permit, digantung mahupun diharamkan penerbitannya.
Jadi, jangan terlalu mengharapkan tanggungjawab membela media yang tertindas dipikul pengamal media seluruhnya kecuali segelintir yang punya kesedaran.
Dalam getir kemelut kebebasan media di tanah air ini, suara pembaca harus lebih nyaring setajam pedang - nescaya jauh lebih tajam dari telunjuk menteri, lebih tajam dari mata pena.
FAZALLAH PIT ialah bekas editor Suara Keadilan dan kini ketua pengarang TV Selangor/ Selangor Kini .