Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Datuk Shahrir Samad berkata kerajaan perlu memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 untuk menurunkan harga tol sekitar Lembah Kelang secara berperingkat-peringkat.
Shahrir yang dipetik dalam laporan The Star menyebut, kerajaan perlu memenuhi janji tersebut dan tidak membiarkan pemegang konsesi menaikkan kadar tol berkenaan.
“Perkara utama di sini, manifesto kita menyatakan bahawa kadar tol akan dikurangkan secara berperingkat dan sebab ini BNBCC berharap tidak akan berlaku apa-apa peningkatan,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Manifesto itu antara lainnya menggariskan akujanji secara khusus untuk mengurangkan kadar tol dalam kawasan tersebut secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun akan datang, kata MP Johor Bahru itu.
Bagaimanapun, Shahrir berkata BNBBC masih belum menyatakan sikap mereka ke atas kenaikan berkenaan kerana kerajaan masih belum mengesahkan perkara itu, lapor The Star lagi.
“Isu ini masih sedang dibincangkan oleh kerajaan dan melihat pada keadaan sekarang, anggota kita yang terdiri dari MP dari pelbagai kawasan tidak kesemuanya memegang pendirian sama dalam perkara ini kerana bukan kesemuanya ada jalan bertol di kawasan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, MP yang mewakili kawasan sekitar Lembah Kelang dan kawasan bandar utama lebih terjejas dengan kenaikan harga tol.
MP yang menentang kenaikan harga tol itu berpendapat demikian kerana isu pengurangan harga tol menjadi modal untuk menarik sokongan pengundi dalam pilihan raya, jelasnya lagi.
“Bagaimanapun, kita tahu bahawa langkah untuk tidak menaikkan harga tol bermaksud bahawa terdapat kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan,” katanya lagi.
Laporan sebelum ini menyebut, kerajaan dijangka akan menaikkan kadar tol antara 50 sen hingga RM2 bermula 1 Januari tahun depan.