Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cukai taksiran: Jangan gila berdemonstrasi, kata Ku Nan

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta penduduk Kuala Lumpur supaya tidak turun berdemonstrasi membantah kenaikan cukai taksiran perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 16 Disember ini.

Beliau berkata kerajaan belum lagi membuat keputusan dan akan mendengar setiap aduan mengenai hal tersebut sehingga tarikh tutup pada 17 Disember ini.

NONE"Jangan berdemonstrasi, pergi saja 'complaint' (bantah) jangan gila berdemo. Kenapa nak cipta masalah? Kita nak negara ini selamat.

"Lihat apa yang berlaku di Thailand, baju merah, baju kuning, tahu tak berapa billion mereka rugi?" katanya dalam sidang media di Institut Latihan DBKL hari ini.

Tengku Adnan mendakwa lapan ahli parlimen Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur telah menjadi agen untuk mengelirukan orang ramai dalam menyalurkan maklumat kurang tepat berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Putrajaya itu sekali lagi menegaskan tiada kata putus mengenai kenaikan cukai tersebut, yang hanya akan diketahui selewatnya minggu terakhir bulan ini.

"Surat itu akan dikeluarkan. Kita masih perlu hantar notis sebelum 1 Januari. Dalam surat itu kita akan jelaskan, keputusan saya bersama datuk bandar dan ketua setiausaha apa yang perlu dibayar, kadar mana.

"Jika nilai hartanah itu sudah tinggi, mungkin kita kurangkan (kadar), jika pembayar itu sudah pencen, mungkin kita bagi rebat, mungkin kita kecualikan (kenaikan) rumah kos rendah," katanya.

Tengku Adnan bagaimanapun mengakui kesilapan di pihak DBKL apabila tidak memberitahu kepada pembayar cukai dengan tertib dengan menghantar surat rasmi.

Sebaliknya, kata Tengku Adnan, DBKL hanya memaklumkan melalui Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian bersaiz kecil yang diedarkan bulan lalu kepada semua pemilik rumah dan premis sekitar Kuala Lumpur.

Beliau yang juga setiausaha agung Umno berkata pihaknya sudah cuba sedaya upaya bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai.

"Saya kadang-kadang rasa sedih. Anda tahu apa yang kita cuba buat adalah untuk membantu mereka, tapi berilah peluang kita betulkan kesilapan dan masalah yang kita ada.

"Tapi janganlah menuduh bukan-bukan, cakap bukan-bukan. Sebagai manusia kita pun ada emosi dan tahap kesabaran. Saya hanya boleh merayu supaya mereka sedar," kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS