Sejak saya bersekolah pada tahun 1961, kita mula ingat dengan pelbagai peristiwa sejak darjah 3, 4, 5, 6 dan seterusnya ke sekolah menengah, hinggalah ke institut pengajian tinggi.
Cerita yang popular pada waktu itu ialah kejahatan komunis, buruknya ideologi komunis, iaitu komunis kerjanya membunuh orang ramai, menjahanamkan infrastruktur kerajaan, tidak percaya kepada Tuhan, pengganas dan amat ganas.
Melawan komunis merupakan jihad kerana pada waktu itu British dan kuasa Barat menghadapi pemberontakan komunis di Eropah, Rusia dan Malaya.
Komunis dan rangkaiannya bangun menentang penjajah British dan berusaha menghalau mereka daripada Malaya dan tanah jajahannya.
Selepas merdeka, kerajaan Malaya yang merdeka menghadapi serangan atau penentangan daripada komunis yang berterusan.
Manakala, di luar Malaya pula berlaku peperangan Vietnam, Vietnam Utara dengan ideologi komunis.
Sementara itu, Vietnam Selatan didokong oleh Amerika dan negara Barat. Malaya atau Malaysia bersama dalam rangkaian Amerika dan negara Barat menentang kemaraan rejim komunis di Vietnam pimpinan Hu Chin Minh.
Mao Tze Tung yang berjaya membentuk kerajaan melalui long match yang dibuat pada tahun 1949, memang menggegarkan kuasa-kuasa serantau khasnya Britain dan Amerika yang menguasai rantau Pasifik dan Asia Tenggara.
Manakala Rusia pula, semakin hari semakin kuat menguasai negara-negara yang sekarang disebut CIS, dan pada tahun 1978 menguasai Afganistan.
Oleh itu komunis, sosialis dan ideologi negara yang didokong oleh mereka menjadi musuh yang amat sangat kepada Malaya (Malaysia) negara British, Amerika dan sekutu Eropah Barat.
Ribuan manusia menjadi mangsa, bahkan ratusan ribu menjadi mangsa hasil pertarungan komunis dan non-komunis sama ada di Malaya atau di negara-negara lain. Bahkan di Vietnam sehingga jutaan rakyat telah terkorban.
Pertarungan kuasa
Sementara itu, polis dan tentera serta orang ramai di Malaya ramai terkorban, begitu juga pihak mendokong komunis ramai terkorban dalam pertarungan ideologi, pertarungan negara, pertarungan kuasa (adikuasa) di atas muka bumi ini.
Pada tahun 1975, peperangan di Vietnam telah tamat, Vietnam Utara berjaya mengalahkan Amerika dan sekutunya di Vietnam Selatan.
Richard Nickson telah melawat China dan membuat satu hubungan diplomatik baru di dunia ini. Russia pula membuat pembaharuan di atas konsep "glasnost (openness) and perestroika (restructuring)" menarik keluar tentera dan kuasa politiknya di Afganistan dan di negara-negara CIS yang lain.
Setelah itu, Malaysia menandatangani perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya pada tahun 1989 melalui Rundingan Damai Haadyai.
Pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya boleh pulang ke tanah air jikalau mereka mahu, kecuali Chin Peng dan abunya tidak mendapat kebenaran pulang tetapi yang lain boleh pulang atau diusahakan untuk pulang.
Selepas peristiwa Demontrasi Baling pada tahun 1974, aktivis jalanan dan penunjuk perasaan serta pembela penunjuk perasaan di Baling diburu di bawah ISA.
Pada ketika itu, puluhan pelajar dan pensyarah ditahan di bawah ISA termasuk Anwar Ibrahim, Syed Husin Ali, Kamaruzaman Yaakob dan ratusan para pelajar dikejar di bawah buruan ISA.
Aktivis pelajar berhaluan kiri iaitu Hishamudin Rais melepaskan diri ke luar negara hasil daripada buruan ISA.
Selepas perjanjian damai pada tahun 1991, aktivis pelajar dan pemimpin kesatuan pelajar serta pemimpin Kelab Sosialis Universiti Malaya pulang ke tanah air dan kemudiannya menjalankan aktiviti sosial dengan begitu hebat sekali.
Pada tahun ini, apabila timbul cerita Aishah yang kononnya direkrut oleh komunis dan menganut fahaman Mao Tze Tung diberitakan ingin dibawa pulang ke Malaysia.
Aktivis sosialis dan menjadi buruan ISA iaitu Hishamuddin Rais ke England dan beritanya ke sana disiarkan oleh media Malaysia.
Permaidani merah untuk China
Bahkan, beliau dikatakan bersama dengan pihak kedutaan Malaysia mencari Aishah dan berusaha menemubual Aishah dan diberi publisiti tentang aktiviti Hishamudin Rais di London untuk membawa pulang Aishah ke Malaysia.
Perkara yang hendak saya tekankan adalah komunis yang menjadi buruan pada tahun 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an sekarang boleh pulang.
Bahkan, dipelawa pulang ke tanah air, ertinya sesuatu ideologi yang diperangi itu bukanlah kekal, ia hanyalah sementara. Apakah giliran memerangi ideologi Syiah ini berpanjangan atau sementara?. Kita ikutilah perkembangan seterusnya.
Permusuhan dengan komunis sudah menjadi reda. Sekarang China telah muncul sebagai negara ekonomi, bahkan dua ke tiga tahun lagi akan menjadi kuasa ekonomi pertama dalam dunia mengatasi Amerika Syarikat sekaligus Eropah barat.
Perdagangan dengan China sudah menjadi rebutan, bahkan setiap negara menunjukkan peningkatan angka "bilion dolar" dalam urusan berdagang dengan China.
Presiden China adalah seorang komunis telah datang ke Malaysia dan disambut dengan hamparan permaidani merah.
Begitulah juga Rusia muncul sebagai negara yang kuat dalam ekonomi dengan hasil minyaknya yang begitu tinggi menguasai pasaran Eropah sekarang ini.
Bahkan, dianggap satu negara yang kukuh dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.
Maka, permusuhan kepada komunis seolah-olah tidak ada lagi. Walaupun, hanya ada sentimen pada sudut sejarah apabila saya cuba menimbulkan isu Mat Indera pejuang kemerdekaan telah dimarahi oleh pemerintah.
Perkara ini, atas sentimen lama bukan pembaharuan untuk membenci dan menentang komunis seperti yang berlaku di tahun 50-an, 60-an atau 70-an dahulu.
Pada tahun 1979, berlaku Revolusi Islam di Iran. Revolusi ini dianggap mengancam kuasa Barat dan kuasa Amerika di Timur Tengah.
Syiah itu sejenis kuih?
Kerajaan yang dijatuhkan ialah kerajaan Shah disokong dan didokong oleh Amerika dan Israel.
Oleh kerana Iran ialah sebuah negara Islam, maka pengaruh revolusi itu boleh tersebar serata dunia Islam yang lain, untuk rakyat membuat penentuan supaya mereka tidak dikuasai oleh Amerika dan British.
Maka untuk menyekat kemaraan itu isu Syiah ditimbulkan.
Sebelum itu rakyat Malaysia khasnya ketika zaman saya di peringkat sekolah rendah, menengah dan di kampus, tidak tahu apa itu Syiah.
Datuk Mahfuz Omar (kiri) apabila dituduh atau ditanya adakah beliau seorang Syiah, mengatakan: "Apakah Syiah itu sejenis kuih?".
Ertinya rakyat Malaysia umumnya tidak tahu apa itu Syiah? Apa dia itu mazhab yang lain? Mereka hanya tahu hanyalah Islam dan bukan Islam.
Kita mengetahui hal mengenai Iran hanya mereka mempunyai atau memiliki permaisuri yang jelita iaitu Farah Diba sepopular Lady Diana di England.
Kita juga tahu Iran kuat dalam pasukan bola sepak. Selain itu, kita tahu Iran selalu menang dalam pertandingan ratu cantik di peringkat Asia dan peringkat dunia. Selain daripada itu kita tidak tahu.
Tetapi digelombangkan isu Syiah selepas revolusi pada tahun 1979, kemudiannya diikuti oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku di Teluk, khasnya bila kemunculan Hizbullah untuk menghadapi Israel dan kancah politik di Lubnan. Maka isu Syiah itu disemarakkan lagi.
Berlaku pula pertembungan di Syria, ekoran munculnya kumpulan FSA yang disokong oleh pemain utamanya iaitu Saudi, Qatar, dan negara-negara barat seperti Amerika, Perancis, British dan sebagainya.
Kebetulan Basyar Al-Asad telah dikatakan bermazhab Syiah Alawi yang kita pun tidak tahu soal-soal mazhab di Syria itu. Maka isu Syiah menggantikan tempat komunis yang telah reda beberapa tahun kebelakangan ini.
Kuasa nuklear Iran
Jikalau pertarungan hal komunis itu menyebabkan jutaan dan ribuan rakyat kedua-dua pihak terkorban dan menjadi mangsa.
Kita tidak tahu hal isu Syiah ini pula, iaitu golongan yang pro dan golongan menentangnya pula yang akan dihadapi oleh pemerintah dan rakyat. Saya yakin peristiwa ini tidak berpanjangan seperti isu komunis.
Kerajaan Iran berusaha untuk menjadikan negaranya salah sebuah negara nuklear, dalam hujahnya untuk tenaga, untuk penyelidikan kesihatan pada masa sekarang dan pada masa yang akan datang.
Barat cuba untuk memboikot perdagangan dengan Iran sehingga rakyat Iran yang berada di luar, di atas sekatan mereka tidak boleh membuka akaun mana-mana bank. Mereka hadapi tekanan yang begitu dahsyat.
Inflasi dalam negara mereka naik seperti roket. Tetapi kegigihan rakyatnya akhirnya mereka berjaya mencapai pengkayaan nuklear melebihi 20 peratus.
Melebihi tahap 20 peratus adalah satu tahap pada masa ia boleh membuat bom nuklear dan sebagainya. Paling sukar ialah daripada 5 peratus sehingga kepada 20 peratus, itulah yang diberitahu oleh IEAE kepada masyarakat dunia.
Sama ada mahu atau tidak mahu, Iran telah menjadi sebuah negara nuklear. Pada dua minggu yang lalu, satu kejutan telah berlaku di negara 5+1 bersetuju membuat perdamaian.
Secara ringkasnya dengan Iran dan mengizinkan Iran meneruskan pengkayaan uraniumnya (nuklear) tetapi tidaklah sampai kepada peringkat untuk menghasilkan bom nuklear.
Oleh itu dalam masa lima bulan lagi, jikalau perundingan ini berterusan maka sekatan ekonomi, teknologi, peralatan kepada Iran akan berkurangan ataupun akan beransur-ansur pulih.
Maka, dianggarkan Iran akan muncul sebagai negara yang kuat dengan ekonomi kerana kekuatan minyak dan teknologinya yang ada sekarang ini.
Sekarang ini Iran menjadi pemain utama di rantau Timur Tengah sama ada di Iraq, Syria, Lubnan dan Afghanistan. Sudah tentunya Iran akan muncul sebagai satu kuasa baru di Timur Tengah.
Hingga hari akhirat
Gendang anti-Syiah pada waktu itu akan berkurangan, Amerika dan sekutu Baratnya akan mengubah haluan serangan entah mana pula. Ideologi "Awang Liku" yang mana pula akan menjadi ancaman pada waktu itu.
Sebab itulah, saya berkeyakinan penuh isu Syiah yang dimainkan termasuk saya sendiri yang menjadi mangsa dalam isu ini.
Bagi pandangan peribadi saya, ini hanyalah isu sementara dan ia akan lebih cepat padam daripada isu komunis yang berlarutan secara hebatnya.
Jika di Malaya ini semenjak dari tahun 1948 di zaman darurat sehinggalah perjanjian damai pada tahun 1989, yang memakan masa yang panjang iaitu hampir 41 tahun.
Tetapi isu Syiah ini akan berkurangan tidak lama lagi, apabila negara Barat mula bersahabat semula dengan Iran. Manakala, propaganda anti-Syiah ini akan berkurangan.
Bagaimanapun, dalam setiap pertarungan ideologi ada yang akan menjadi mangsa, sama ada tuduhan itu palsu, rekaan dan sebagainya untuk memperkuatkan sesebuah kerajaan itu, atau sebuah parti politik itu.
Demi menunjukkan yang mereka bimbang terhadap keselamatan negara ataupun sebagai propaganda untuk mereka meneruskan kuasa di suatu tempat. Pertarungan ideologi ini akan berterusan.
Walau bagaimanapun, kita akan konsep keadilan sejagat ada jenayah universal tetap dianggap jenayah, seperti membunuh orang tanpa sebab, memukul isteri, memukul anak, memukul menantu, memukul bakal menantu yang tidak jadi, menggunakan kuasa untuk melindungi kesalahan, rasuah, mencuri wang rakyat, menindas rakyat dan memakan riba.
Semuanya itu adalah merupakan kesalahan-kesalahan walau apapun ideologi, ia akan tetap dianggap satu jenayah.
Begitulah juga mereka yang menolong anak yatim, membantu orang miskin, melawan rasuah, menentang penindasan, menjaga dan kasihan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan, alam sekitar, menggalakkan kehijauan, mewujudkan keharmonian antara kaum, memperjuangkan kebenaran sejagat, ideologi apa yang berkuasa, kumpulan yang naik, ianya diterima umum sebagai perkara yang baik dan perlu ada.
Oleh itu perjuangan hak dan batil akan berterusan "ila yaumil qiamah" (hingga hari Akhirat) tidak kira sama ada ideologi, keadaan yang berlaku di suatu tempat atau sesebuah negara.
Saya berpegang pada konsep perjuangan berdasarkan Islam iaitu menegakkan yang maaruf dan menentang yang mungkar dan beriman kepada Allah serta berusaha untuk mewujudkan keharmonian semua kaum di atas sifat apa yang diberitahu oleh kitab suci Al-Quran.
"...dan tidaklah Kami utuskan Engkau Muhammad kecuali untuk membawa kesejahteraan kepada sekalian alam."
Artikel ini diterbitkan semula daripada tulisan di Facebook rasmi Mohamad.