Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

" We are fighting for a society where people will cease thinking in terms of colour." (8 Mac 1993) - Mendiang Nelson Mandela ( bawah )

Pada November yang lalu, bekas naib canselor Universiti Malaya Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata di Persidangan Asia Barat dan Afrika, di Kuala Lumpur, bahawa isu perkauman digunakan oleh sesetengah ahli politik di Malaysia bagi melindungi kegiatan rasuah yang dilakukan pemimpin terbabit.

NONE Beliau juga berkata isu perkauman dimainkan bagi melindungi salah laku selain mengelak mereka yang terlibat daripada dituduh atas aktiviti tidak bermoral itu.

Saya tertarik dengan kata-kata beliau memandangkan di Malaysia terdapat satu gabungan parti politik yang masih mengamalkan politik perkauman dan gabungan ini berada di posisi di mana rasuah boleh berlaku secara berleluasa.

Apabila seorang cendekiawan memberi komen sedemikian, kita pastinya tertanya-tanya apakah yang beliau tahu, dan ingin mengetahui secara lanjut apa yang dimaksudkan oleh Ghauth?

Sejauh manakah dan apakah contoh-contoh sifat perkauman dan kegiatan rasuah berkait di negara ini?

Topeng-topeng rasuah

Ghauth ( bawah ) juga berkata: "Jika negara dipenuhi dengan pemimpin rasuah, mereka akan menggunakan isu perkauman untuk melindungi kesalahan bagi menarik perhatian."

Adakah dengan terus mempromosikan sifat perkauman yang semakin menebal, semakin tersoroklah kegiatan rasuah yang berleluasa?

NONE Sekiranya ini benar, apa-apa gabungan politik yang masih berteraskan politik perkauman seharusnya dihentikan dan tidak lagi relevan kerana ia hanya melindungi kepentingan sesetengah pihak yang menggunakannya sebagai topeng untuk melindungi kegiatan rasuah.

Dan mereka bukannya membantu atau memperkasakan sesuatu kaum tersebut seperti yang dikatakan, sebaliknya menghancurkan negara kita yang tercinta ini.

Kita terpaksa akui bahawa masalah perkauman sememangnya wujud di Malaysia, tetapi apa yang menyedihkan, kita masih mempunyai pemimpin-pemimpin yang menyokong isu tersebut dan bukannya membantu menyelesaikannya.

Adakah dengan masih wujudnya sifat perkauman di Malaysia ini, yang dipraktikkan oleh sesetengah ahli politik dan pemimpin negara sendiri, menyumbang kepada kemerosotan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2013 Transparency International yang diterbitkan beberapa hari yang lalu?

Indeks ini merupakan satu peringatan kepada salah guna kuasa, perundingan rahsia dan kegiatan rasuah yang berlaku di seluruh dunia.

Resipi kehancuran

Malaysia berada di tangga ke-53 dengan markah 50, di mana markah 100 menunjukkan paling bersih dan 0 menunjukkan tahap korupsi tertinggi.

Singapura berada di tangga ke-5 dengan markah 86, Hong Kong di tangga ke-15 dengan markah 75, Taiwan dan Israel di tangga ke-36 dengan masing-masing markah 61.

Rakyat Malaysia tidak harus lagi tertipu dengan agenda perkauman yang hanya akan membawa kepada kehancuran negara kerana pejuang-pejuang perkauman ini hanya melindungi kepentingan mereka bukannya memperkasakan sesuatu kaum itu sendiri.

NONE Sekiranya perlu lagi contoh sikap perkauman yang ditonjolkan oleh sesetengah pihak di sebuah parti politik, boleh lihat sahaja di mana seorang perwakilan Umno meminta slogan Salam 1Melayu menggantikan Salam 1Malaysia kerana kaum lain gagal membantu Umno negerinya.

Wakil Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir ( kanan ) menceritakan pengalaman beliau 'ditikam' oleh kaum lain ketika pilihan raya umum lalu dalam perbahasan ucapan dasar presiden, semalam.

Ghauth Jasmon berkata: "Jika negara dipenuhi ahli politik yang rasuah, ia adalah resipi kehancuran."

Saya juga percaya jika negara berbilang kaum ini dipenuhi ahli politik dan pemimpin yang bersifat perkauman, ia juga satu resipi kehancuran.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menolak politik perkauman dan perlu sama-sama bersatu membina impian Malaysia dan bukannya hanya melihat kepada perbezaan warna kulit atau mencari sebab untuk membenci satu sama lain.

Malaysia adalah tanah tumpah darah kita semua.


NONE DYANA SOFYA MOHD DAUD setiausaha politik kepada ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS