Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perwakilan Selangor Mohd Haniff Koslan merungut apabila mendakwa permintaan mereka sebagai ahli Umno untuk menjalankan perniagaan di negeri itu "dianaktirikan" dan mereka berdepan dengan karenah birokrasi.

"Kerajaan Selangor bukan kerajaan Umno, tetapi ditadbir tiga parti ideologi berbeza-beza. Bila kita minta (untuk berniaga) dianaktirikan.

"Yang hairannya, kita minta (untuk memohon) ia berpindah kepada satu pihak kepada pihak. Parti ini kata macam ini, parti itu kata macam itu.

"(Apa kata) agensi persekutuan, kita pun main keras. Kalau mereka (Pakatan Rakyat) baling batu dekat kita, kita baling batu balik dekat dia.

"Kita harus memberatkan mereka, sesuatu amat susah juga (kepada mereka)," katanya yang juga ahli perniagaan.

Bagaimanapun, katanya ahli perniagaan sepertinya tidak akan berputus asa untuk mencari peluang perniagaan di negeri itu.

"Kami tidak berputus asa, perjuangan peniaga diteruskan kami mahu meneruskan kemajuan," katanya ketika membahaskan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

Beliau juga mencadangkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berusaha melahirkan jutawan Melayu supaya dapat membantu orang Melayu sekalipun perkara itu bukan perkara yang senang.

Katanya, perkara tersebut boleh direalisasikan dengan meletakkan KPI atau audit dalaman untuk GLC yang melaksanakannya.

"Oleh itu kita wajib menguatkan ekonomi Melayu... Kita mesti pertahankan jutawan Melayu yang telah wujud dan mewujudkan jutawan baru pula.

"Lesen perniagaan atau kuota yang diperuntukkan dikekalkan atau ditambah.... Kita tidak ada niat nak ambil hak yang diberikan kepada orang lain," katanya.

Membahas usul yang sama, Perwakilan Puteri Nor Sabrina Mohd Noor pula merungut berhubung pelaksanaan ekonomi yang "tak sampai ke tahap memuaskan".

Dengan memberi contoh jurang pendapatan bulanan penduduk di negeri lain dengan penduduk antara Perlis, Kedah berbeza.

"Apa gunanya pendapatan kita tinggi, jika saudara mara kita masih di bawah paras kemiskinan.

"Kenapa perlu mendabik dada sebagai negara membangun, berpendapatan tinggi tetapi ada saudara mara kita tidak ada rumah," katanya sambil menambah usaha perlu dilakukan untuk membantu mereka termasuk berusaha menambah pemilikan aset.

Katanya , jurang pemilikan aset orang Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum Cina.

"Hakikatnya ekonomi orang Melayu kelas kedua, dan mereka masih perlu diperbaiki," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS