Beberapa ahli akar umbi Umno Kedah melahirkan rasa kecewa kerana Menteri Besar mereka, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak dilantik menganggotai Majlis Tertinggi.
Kushahrom Ku Ahmad (kanan) dari Langkawi berkata ia nampak seperti
pimpinan pusat tidak menghargai usaha dan sumbangan Umno negeri itu yang berjaya merampas kembali Kedah dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lepas.
"Kami telah berusaha sepenuhnya untuk mengambil kembali negeri ini dari Pakatan Rakyat... tapi akhirnya kami tak mendapat sebarang pulangan," kata beliau ketika ditemui di Perhimpunan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Mukhriz, anak bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad tidak tersenarai dalam sembilan ahli MT lantikan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum itu beliau tewas tipis dalam persaingan enam penjuru untuk tiga tempat naib presiden Umno.
Seorang lagi ahli Wanita dari Langkawi Ku Arfah Ku Bin (kiri) turut
bersetuju yang Umno Kedah diketepikan pusat.
"Walaupun kami menerima bahawa Mukhriz kalah dalam pemilihan parti, tapi apa yang susah sangat nak lantik dia jadi MT?," kata beliau.
Bagaimanapun ada juga delegasi Kedah yang menerima jelas keputusan Najib itu.
Seorang perwakilan Pemuda dari Kedah yang enggan dikenali berkata Mukriz dan kepimpinan parti sepatutnya fokus dalam memajukan negeri dan negara ini bersama.
"Sekarang ini, kita patut fokus untuk membuat Kedah lebih baik tanpa tekanan sebagai ahli MT. Kepimpinan semua patut tunjuk teladan berdamai dan kita semua bekerja untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 akan datang," kata beliau ketika ditemui.
Ahli akar umbi dari Alor Star Azlan Baharuddin bagaimanapun membayangkan Mukhriz masih mempunyai peluang setelah pendakwah popular Mohammad Kazim Elias menolak dilantik menganggotai MT hari ini.
"Peluang mungkin tipis, tapi ya, Mukhriz mungkin terpilih kerana ini," katanya.
Seorang lagi ahli akar umbi parti itu dari Jitra yang hanya mahu dikenali sebagai 'Din' berkata Mukhriz sepatutnya mengambil peluang untuk menjadikan Kedah, negeri model bagi Barisan Nasional.
"Walaupun (tidak dipilih) tidak adil tapi beliau boleh menunjukkan kemampuan beliau di negeri kami. Dengan cara ini, pembangkang takkan mampu memenangi Kedah lagi," tambahnya.