Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggesa pemimpin parti tersebut dan juga kerajaan agar memberi lebih banyak peranan kepada wanita dalam pergerakan Umno negeri dan juga dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dalam ucapannya di perhimpunan sayap parti tersebut pagi ini, penasihat khas kepada perdana menteri berhubung isu wanita itu berkata ramai di kalangan wanita kini berpendidikan tinggi.
Malah, kekuatan Umno juga amat bergantung kepada sayap Wanita, katanya lagi.
"Hei, kami koman sangat ke?... Jangan uji kesabaran wanita," katanya yang menerima tepukan gamat dari para perwakilan yang hadir.
Ucapan beliau disampaikan di hadapan Ahli Majlis Tertinggi antaranya Tan Sri Jamil Khir, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Afdal.
Sharizat menyebut bahawa Wanita Umno juga turut berusaha agar 30 peratus tenaga kerja di sektor awam dan swasta terdiri dari golongan wanita.
“Sebelum 2014, 30 peratus wanita akan melibatkan diri dalam GLC dan lain-lain,” ujar beliau dalam ucapan dasar bertajuk 'Wanita Umno: Teras dan tulang belakang'.
'Bukan sekadar wakil'
Ketua Wanita Umno itu turut memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menasihati Pengerusi Perhubungan Umno agar tidak bersikap berat sebelah dalam menentukan pemimpin yang berhak dilantik dalam jawatankuasa tersebut.
Katanya, peluang yang diberikan kepada wanita dalam parti masih tidak memadai, walhal wanita juga mempunyai kelayakan dalam mengetuai biro-biro dalam parti tersebut.
"...Jangan anti kaum wanita... Saya nak minta yang berhormat Datuk Seri perdana menteri nasihatlah pengerusi perhubungan lantik wanita dalam biro pembangunan," katanya.
"Dari segi politik saya memang komited nak berjuang habis-habisan untuk memperkasakan wanita," katanya.
Tambahnya lagi, tidak memadai sekiranya pemimpin wanita sekadar ditampilkan sebagai wakil dalam jawatankuasa tersebut.
"Ada orang kata okeylah ada wakil wanita. Tak okey. Tak okey...haih semua jantan (lelaki) je ke wakil wanita tak de ke?," sindirnya.
Dalam ucapannya itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Najib atas strategi transformasi politik dalam Umno yang mengiktiraf sayap parti tersebut sebagai teras dan tulang belakang Umno.