Kerajaan negeri Kedah mengeluarkan arahan kepada pemaju untuk menghentikan segera operasi perobohan beberapa tapak tinggalan candi Sungai Batu di Lembah Bujang.
Laporan Bernama yang memetik kenyataan Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menyebut, pemaju berkenaan diarahkan untuk menghentikan segera aktiviti berkenaan.
Katanya, arahan itu dikeluarkan atas permintaan exco Kedah Datuk Tajul Urus Md Zain hari ini.
Dalam laporan itu, Mukhriz berkata beliau akan melihat laporan penuh dan mengadakan mesyuarat untuk mengetahui duduk perkara sebenar.
"Saya akan mengadakan mesyuarat untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kerana nampaknya ada dua versi mengenai kejadioan di Sungai Batu dan saya ingin mendapat gambaran sebenar," katanya seperti dipetik dalam laporan berkenaan.
Aktiviti perobohan tinggalan purba tersebut dikritik banyak pihak dan turut disifatkan sebagai "kebudayaan tak bertamadun".
Antaranya MP Padang Serai N Surendran yang berkata, seluruh negara terkejut dengan pemusnahan stuktur candi yang dibina pada abad kelapan di tapak arkeologi itu.
"Perobohan, yang dilakukan pemaju swasta, tindakan kebudayaan tak bertamadun, setanding dengan perobohan Buddga Bumiyan oleh Taliban," katanya.