Novel pengarang terkenal Faisal Tehrani Perempuan Nan Bercinta yang diperakukan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah habis diedarkan penerbitnya, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Ketua Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan Jualan ITBM, Mohd Khairulanuar Manshor berkata 3,000 naskhah novel itu sudah habis diedarkan kepada kedai-kedai buku selepas ia dicetak.
"Buku itu dah habis cetak dan kita cetak 3,000 naskhah sahaja. Dalam simpanan kita tiada lagi tetapi di kedai-kedai buku saya tidak pasti," jelas beliau ketika dihubungi Malaysiakini .
Khairulanuar bagaimana pun tidak dapat memberikan ulasan lanjut berkenaan status novel itu kerana perkara itu hanya boleh dinyatakan oleh Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron yang kini berada di luar negeri.
Perempuan Nan Bercinta yang dilancarkan perdana menteri pada Julai tahun tahun lalu kembali mencuri perhatian apabila diumumkan haram oleh Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohd Aizam Mas'od kerana didakwa mengandungi unsur Syiah.
Menariknya, perakuan itu dinyatakan dalam majlis ceramah berhubung dakwaan kesesatan Syiah yang dihadiri isteri Najib, Rosmah Mansor di Seri Perdana, Putrajaya.
Penulisnya, Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa semalam berkata beliau masih tidak dimaklumkan tentang pengharaman itu dan masih melihat ia dijual di rak buku sehingga minggu lalu.
"Sekiranya khabar ini benar, saya gembira kerana telah mencipta dua kali sejarah yang tidak dilakukan oleh mana-mana pengarang hatta sasterawan negara sekalipun.
"Hanya novel Pak Sako (dilarang British) dan buku ilmiah Pendita Za'ba pernah diharamkan pihak berkuasa agama Perak satu masa dahulu. Kedua-duanya adalah ikon saya," jelas beliau kepada Malaysiakini .
Penerbit belum dimaklumkan
Sementara itu, Mohd Khair ketika dihubungi Malaysiakini awal petang ini enggan mengulas lanjut perkara itu buat masa ini.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini ITBM masih tidak dimaklumkan berhubung pengharaman tersebut serta bahagian mana dalam buku itu yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Usaha mendapatkan reaksi Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga setakat ini masih belum berhasil.