Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan hari ini mengumumkan kadar hutang negara meningkat kepada 53.6 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir September tahun ini.
Menurutnya, hutang negara kini berjumlah RM529.6 bilion, satu angka yang disifatkannya sebagai masih lagi dalam keadaan terkawal.
Jun lalu, hutang negara adalah sebanyak RM519 bilion, satu jumlah yang mewakili nisbah sebanyak 53 peratus daripada KDNK, umum kerajaan di Parlimen pada masa itu.
Ahmad menjelaskan sebanyak RM512.3 bilion atau 96.8 peratus adalah hutang dalam nagara dan RM16.9 bilion atau 3.2 peratus adalah hutang luar negeri.
"Jumkah hutang luar negeri yang rendah adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk mengutamakan pinjaman dalam negeri yang mempunyai kecairan tinggi, kos pinjaman yang lebih rendah serta dapat meminimumkan risiko pertukaran mata wang asing," katanya.
Jamin RM147.3b pinjaman badan berkanun
Sementara itu, beliau menjelaskan kerajaan turut menjamin sebanyak RM147.3 bilion pinjaman yang dibuat badan berkanun dan syarikat kerajaan.
Namun, jaminan ini yang dikelaskan sebagai tanggungan tidak langsung, tidak dikira dalam hutang kerajaan.
"Jika tanggungan tidak langsung diambil kira dalam pengiraan hutang kerajaan maka ia akan memberikan tanggapan salah daripada sudut perakaunan antarabangsa.
"Kita juga seolah-olah memandang rendah keupayaan syarikat-syarikat dan badan berkanun tersebut untuk membayar balik hutang mereka," katanya.