dikemaskini Seperti yang dijangkakan, persaingan bagi tiga jawatan naib presiden PAS adalah sangat sengit danmembawa kepada pengiraan semula undi.
Persaingan kali ini menyaksikan penyandangnya, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa mempertahankan jawatan masing-masing.
Ketiga-tiga penyandang itu dicabar oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abu Bakar Chik.
Pengerusi jawatankuasa pemilihan, Asmuni Awi, mengumumkan proses pengiraan semula itu, selepas mengumumkan keputusan bagi jawatan timbalan presiden yang dimenangi oleh Mohamad Sabu.
Manakala Timbalan Pengerusi Tetap, Hussein Ibrahim pula berkata keputusan pemilihan jawatan naib presiden diumumkan esok.
Dalam sidang media kemudiannya, Asmuni berkata pengiraan semula undi dijalankan kerana terdapat perbezaan undi "sangat rapat" antara kelima-lima calon yang bertanding.
"Kami bertanyakan kepada wakil-wakil calon dan mereka setuju untuk pengiraan semula jumlah undi bagi naib presiden," katanya.
Asmuni yang juga seorang peguam berkata beliau memberi jaminan keputusan jawatan nombor tiga dalam itu akan diumumkan jam 9.30 pagi esok.
"Kita akan habiskan pengiraan malam ini. Tidak ada kiraan semula selepas ini," katanya.
Sebanyak 1,057 perwakilan yang mengundi dan sebanyak lima undi rosak dicatatkan, tambahnya.
Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Muktamar Datuk Takiyuddin Hassan.