Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau akan menyelesaikan perkara yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS dalam muktamarnya semalam dengan Pakatan Rakyat negeri itu secara dalaman dan bukannya melalui media.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan hubungan dan kerjasama Pakatan di negeri itu "banyak perkara yang tidak sempurna lagi, tapi banyak yang positif".

"Saya menghargai rakan-rakan (Pakatan) daripada Pulau Pinang yang memberi satu tempat yang besar kepada PAS, memberi satu kerusi sahaja. Peranan yang diberi sangat besar.

"Untuk mengisi peranan itu sudah tentulah ada masalah yang belum selesai.

"Masalah itu akan diselesaikan secara dalaman, bukan melalui media. Setakat ini saya membaca melalui media tidak bertemu lagi dengan rakan-rakan (Pemuda) Pulau Pinang.

"Insya-Allah saya dapat penjelasan daripada mereka, saya akan bincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan (di negeri itu)," katanya dalam sidang media.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung PAS yang didakwa menjadi pak turut di Pulau Pinang susulan perwakilan Pemuda negeri mendakwa ketegangan PAS dan kerajaan negeri dalam pentadbiran hal ehwal Islam disebabkan tekanan dan hilangnya kuasa.

Mohd Raduan Ramli menyatakan PAS Pulau Pinang seolah pak turutdan mendakwa sejak pilihan raya, mesyuarat Pakatan hanya tiga kali sahaja diadakan dan tiada medan untuk memberi pendapat.

"PAS Pulau Pinang seolah diletakkan di kerusi pemandu tetapi stering kereta dikawal oleh orang lain," kata Mohd Raduan ketika membahas ucap utama ketua pemuda PAS Nasrudin Hasan di Dewan Sivik MBPJ semalam.

Ditanya apa yang dimaksudkannya sebagai "perkara yang tidak sempurna", Abdul Hadi tidak menjawab secara khusus sebaliknya menegaskan kerajaan pusat pun belum sempurna.

"Apatah lagi Pulau Pinang adalah kerajaan negeri, sudah tentu Kelantan tak sempurna bila kita menghayati konsep federalisme yang tidak ikut perlembagaan.

"Contoh tubuh JKKK, Jabatan (Pembangunan) Persekutuan, macam mana kita nak buat? Mengikut sistem demokrasi, konsep federalisme ada parlimen dan ada dan kerajaan negeri.

" Masalah kita, kerajaan pusat tubuh jentera kerajaan negeri juga, macam mana kita nak kerja dengan selesa," katanya dalam sidang media itu yang turut dihadiri timbalan presiden Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS