Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang ADUN DAP menyarankan agar kerajaan negeri tidak menjual pegangan syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam syarikat Kesas Holdings Bhd bagi membolehkan rakyat di negeri itu menikmati bayaran tol percuma di lebuhraya Kesas.

Ng Sze Han (DAP-Kinrara) berkata, keuntungan PKNS melalui pegangan dalam Kesas Holding – dianggarkan RM36 juta setahun – dijangka mampu membolehkan kerajaan negeri menampung bayaran tol percuma untuk pengguna lebuh raya tersebut, untuk tempoh sehari setiap minggu.

Berucap semasa membahaskan belanjawan Selangor 2014 semalam, beliau menganggarkan usaha kerajaan akan memperoleh keuntungan sebanyak RM375 juta, yang memberi keuntungan kepada sekurang-kurangnya 270,000 pengguna.

Katanya, keuntungan tersebut lebih berbaloi dalam jangka masa panjang berbanding RM375 juta yang ditawarkan oleh syarikat Gamuda Bhd untuk mengambil alih 30 peratus kepentingan dalam Kesas Holdings.

Beliau berpendapat, tawaran RM375 itu terlalu rendah berbanding penilaian sebenar, sedangkan kos operasi Kesas Holdings tidak membebankan PKNS.

“Saya cadangkan kepada kerajaan supaya jangan jual saham PKNS, sebaliknya gunakan keuntungan lebuhraya Kesas ini (supaya) rakyat boleh menikmati tol percuma.

“Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya peruntukkan RM374 juta sebagai insentif kepada rakyat Selangor untuk laluan tol percuma sehari dalam satu minggu di lebuhraya Kesas dan anggaran saya, dalam masa setahun sekurang-kurangnya 270 ribu pengguna menerima insentif,” katanya

Beliau yakin usaha tersebut mampu ditanggung oleh kerajaan Selangor berdasarkan kecekapan pentadbiran kewangan negeri yang berjaya menyimpan rizab sebanyak RM2.7 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS