MP Pandan Rafizi Ramli mengesyaki bahawa rancangan untuk mengehadkan penggunaan kereta selama 12 tahun sebagai helah untuk mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST) melalui jual beli kereta yang lebih kerap.
Sedangkan, tiada penemuan saintifik atau empiris yang menunjukkan sebahagian besar kemalangan jalan raya yang berlaku disebabkan oleh kenderaan berusia lebih 12 tahun.
"Setiap urusniaga pembelian dan penjualan kereta - baru atau terpakai - akan dikenakan GST, maka lebih kerap rakyat bertukar kereta lebih banyaklah GST yang akan dikutip," katanya.
Menurutnya, apabila GST dilaksanakan kelak kerajaan akan mengutip cukai sebanyak kira-kira RM4,000 untuk setiap kereta yang dibeli.
Dengan pelaksanaan had jangka hayat kereta itu pula, kira-kira 2 ke 3 juta rakyat Malaysia akan terpaksa menukar kereta mereka sekaligus.
MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang turut hadir pada sidang media itu memberi amaran yang polisi itu bakal menjadikan kereta sebagai satu barangan yang sukar dimiliki seperti rumah.
"Bayangkan pinjaman untuk membeli kereta adalah selama sembilan tahun, kereta itu akan jadi percuma untuk tiga tahun dan kemudian kita perlu menukar kereta lagi.
"Kita akan selamanya dibebani dengan hutang," kata Sim.