Pemuda PKR (AMK) menyelar kenyataan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan fahaman "liberal demokratik", yang menurut NGO itu akan membawa Malaysia ke arah negara tiada agama.
Timbalan ketua penerangannya Najwan Halimi berkata, kenyataan Presiden ISMA Abdullah Zaik Abdul Rahman ( kanan ) itu berniat jahat, terkepung dalam ideologi tajaan PERKASA dan sekadar mengulangi pandangan perkauman yang jumud.
Malah, menurut Najwan, ia boleh mencetuskan sentimen agama dan perpecahan kaum.
"Apa yang jelas adalah, Abdullah Zaik sendiri tidak memahami kerangka liberal dalam konteks yang menyeluruh," kata Najwan.
Dalam kenyataannya hari ini, Najwan juga berhujah, kritikan Abdullah Zaik ( bawah ) terhadap Buku Jingga dinyatakan tanpa menyebut komitmen bersama Pakatan Rakyat untuk mempertahankan perlembagaan, Islam sebagai agama rasmi dan melindungi keistimewaan Melayu.
Berhubung dakwaan Institut Kajian Dasar (IKD) pimpinan pimpinan pusat PKR Khalid Jaafar, mempromosikan fahaman liberal secara terancang, Najwan menafikannya.
"IKD sebagai sebuah institusi pemikir bukan sekadar mengangkat wacana liberal sebagai tema perdebatan bahkan turut mempromosi aliran pemikiran Islam klasik dan kontemporari sejajar dengan pergulatan pelbagai isu dan krisis pemikiran, sosial dan budaya di negara ini," katanya.