Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga pasar malam mangsa terbaru kes tembakan

Seorang peniaga pasar malam menjadi mangsa terbaharu kes tembakan di Kelantan apabila maut selepas terkena beberapa das tembakan semasa dalam perjalanan pulang daripada berniaga di Kampung Pengkalan Petah di Bachok, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata, Alias Yusof, 58, ditembak beberapa das yang tepat mengenai kepala dan perut dalam kejadian kira-kira 8.45 malam.

"Mangsa ditembak individu yang menaiki motosikal kira-kira jarak 250 meter dari tapak pasar malam itu ketika sedang menunggang motosikal bersama anaknya berumur enam tahun dalam perjalanan pulang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Lai berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat dan menurutnya kes akan disiasat secara terperinci.

Sementara itu isteri mangsa, Jawiah Che Mat, 41, berkata ketika kejadian dia yang memandu van berada tidak jauh di hadapan suaminya sebelum terdengar bunyi tembakan.

"Saya lihat suami saya dalam keadaan tertindih dengan motosikal manakala anak saya Che Muhamad Danial berada di sebelahnya dalam keadaan pucat.

"Sewaktu alihkan motosikal, suami saya masih bernyawa sebelum meninggal dunia," katanya yang yang berniaga air minuman di pasar malam berkenaan.

Anak pasangan itu kelihatan trauma kerana terkejut.

Sementara itu seorang saksi, Fazli Mahmood, 30-an, berkata pada mulanya dia menyangka tembakan itu adalah bunyi mercun tetapi kemudiannya melihat sebuah motosikal yang dinaiki dua individu memecut laju.

"Tetapi motor jenis apa saya tidak tahu dan mengetahui arwah kena tembak selepas itu," katanya.

Pada 30 Oktober lepas, seorang peniaga emas cedera parah terkena tembakan di bahagian bahu dalam kejadian di Kampung Sering, Kota Baharu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS