EKSKLUSIF Tiga bulan lalu, seorang bekas pengawai tinggi polis menerima satu panggilan telefon mengejutkan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang menggesa beliau menghadiri pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Panggilan tersebut dibuat oleh peguam yang dikaitkan dengan Umno, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala bekas pegawai tinggi polis yang dimaksudkan adalah bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim.
Rentetan itu, Mat Zain bertemu dengan Shafee pada 10 Ogos di pejabat yang juga merupakan kediaman peguam tersebut di kawasan elit Bukit Tunku.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-duanya berbincang mengenai dakwaan “salah laku” Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, termasuk isu yang mendapat perhatian umum seperti kes Batu Puteh – pulau di perairan Johor yang kini jatuh ke tangan Singapura selepas kes itu berlarutan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008.
Beberapa jam kemudian, Mat Zain dan Shafee mengadakan pertemuan dengan Mahathir di Country Heights, Kajang. Bekas perdana menteri itu nampaknya baru saja pulang dari Kedah.
Turut menyertai pertemuan itu adalah bekas setiausaha politik Mahathir, Matthias Chang dan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Ramli Yusuff, yang turut memaklumkan kepada Mahathir mengenai masalahnya dengan Gani.
Perbincangan semasa pertemuan dalam suasana sambutan Hari Raya itu tertumpu kepada dakwaan salah laku Gani.
Ia bermula dengan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mana Mat Zain merupakan pegawai penyiasatnya. Bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor disabitkan kesalahan dalam kes tersebut dan dipenjarakan.
Liwat I
Mat Zain memberitahu Mahathir bahawa beliau menemui pemalsuan bukti yang didakwa dilakukan oleh Gani seamsa siasatannya.
Gani pada masa itu merupakan salah seorang dari pendakwa utama kerajaan yang menangani kes Liwat I dan dakwaan penyalahgunaan kuasa Anwar.
Dakwaan pemalsuan bukti itu berlaku apabila Gani mengemukakan seorang ahli patologi Dr Abdul Rahman Yusoff sebagai saksi dan memberitahu mahkamah bahawa Anwar mendakwa kecederaan itu mungkin dilakukannya sendiri.
Perkara ini bertentangan dengan beberapa lagi laporan perubatan.
Susulan itu, satu suruhanjaya siasatan diraja dibentuk untuk menyiasat kes mata lebam tersebut, di mana Abdul Rahim kemudiannya didapati telah menumbuk Anwar.
Anwar membuat laporan polis pada 2008 – 10 tahun selepas kejadian tersebut – ke atas Gani dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan yang menjadi penyiasast dalam kes liwat Anwar.
Satu jawatankuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terdiri dari bekas hakim kanan kemudiannya dibentuk untuk menyiasat dakwaan tersebut dan membebaskan Gani dan Musa dari tuduhan salah laku dan memalsukan bukti yang dibuat ke atas mereka.
Dalam perbincangan semasa Hari Raya dengan Mahathir itu, Shafee bersetuju bahawa pelantikan jawatankuasa SPRM dibuat dengan tidak mengikut undang-undang yang sah, dan hanya satu tribunal yang boleh membebaskan AG atau IGP dari sebagai tuduhan salah laku – dan bukannya satu panel yang dibentuk oleh SPRM.
Mat Zain bagaimanapun hairan kerana Mahathir dan Shafee memanggilnya untuk pertemuan tersebut kerana bukti yang mereka kehendaki sudahpun dilaporkan dengan meluaas.
Salinan akuan berkanun
"Ia boleh didapati dengan mudah di Internet dan mereka boleh cari surat terbuka saya. Susulan pertemuan itu, Shafee meminta salinan dokumen yang saya miliki dan saya mengirimnya kepada peguam itu pada 24 September,” kata bekas pegawai tinggi polis itu kepada Malaysiakini.
Susulan pertemuan 10 Ogos itu, Mat Zain membuat pengakuan berkanun berhubung perkara tersebut pada 7 Oktober.
Beliau mengirim salinan pengakuan berkanun tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dua hari kemudian.
Malaysiakini berpeluang melihat salinan pengakuan berkanun tersebut.
Salinan pengakuan berkanun tersebut juga dihantar kepada Peguam Cara Negara Datuk Idris Harun dan dipercayai turut diperolehi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui seorang pembantu.
Malaysiakini telah menghubungi Shafee dan Chang untuk mendapatkan reaksi mereka.
Ironinya, Shafee dilantik oleh Gani untuk mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan Anwar dari dakwaan Liwat II.
Mat Zain memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu turut melibatkan kekalahan Malaysia dan kes Pulau Batu Puteh dan juga perkara yang mungkin menyebabkan kes tersebut disia-siakan oleh Gani.
Sementara itu, Ramli pada hari Jumaat lalu memfailkan saman ke atas Gani, Musa dan 10 yang lain kerana pendakwaan berniat jahat.