Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan cuti Deepavali dua hari diserah pada PM
Diterbitkan:  Nov 2, 2013 3:10 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Permohonan supaya cuti umum dua hari diberi sempena perayaan Deepavali telah dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

    

Menurut Palanivel, Najib dalam reaksinya memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan berhubung perkara itu.

    

"Beliau (Najib) akan berbincang dengan pihak berkenaan sebelum mengumumkan apa-apa keputusan kemudian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali MIC 2013 di perkarangan kuil Batu Caves hari ini.

    

Bagaimanapun, Palanivel tidak menyatakan bila permohonan itu dikemukakan.

    

Selain Najib yang juga pengerusi BN, rumah terbuka yang dihadiri ribuan rakyat pelbagai kaum itu turut disertai isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan kenamaan lain.

Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, dilaporkan berkata Rabu lalu bahawa sebagai sambutan nasional, perayaan yang disambut masyarakat India beragama Hindu dan Sikh di Malaysia itu wajar diberi cuti umum dua hari bagi memeriahkan lagi perayaan itu.

    

Mengulas sambutan Deepavali hari ini, Palanivel berkata kehadiran ribuan pengunjung mewakili pelbagai latar belakang, agama dan kaum menjadi bukti semangat keharmonian dalam kalangan rakyat negara ini terus subur.

    

"Saya melihat suasana hari ini sangat meriah dengan kehadiran bukan sahaja pengunjung tempatan malah pelancong asing yang turut teruja dengan sambutan Deepavali," katanya.

   

Penyelaras Nasional Pergerakan Putera MIC, P. Kamalanathan pula menyifatkan acara tradisi rumah terbuka bagi setiap perayaan agama di negara ini merupakan saraf penting yang menunjangi kekuatan Malaysia.

    

"Kita lihat pemimpin turun menyertai rakyat dalam perayaan sebegini. Ini pastinya keunikan yang memberi kekuatan kepada Malaysia untuk kekal aman dan harmoni," kata Kamalanathan yang juga timbalan menteri pendidikan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS