SG LIMAU Di setiap ceramah yang disinggahnya semalam sewaktu berkempen untuk PAS, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataannya tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Menurut Anwar, beliau didatangi orang ramai yang menonton TV3 yang mendakwa beliau menyokong rancangan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan GST bermula April 2015.
"Saya tanya mereka, kenapa percaya pada media-media ini. Mereka ini agen fitnah," kata Anwar dalam ceramahnya semalam.
"GST itu efisien tetapi apa yang kami nyatakan ialah: kecuali sistem keseluruhannya baik, kita tidak sepatutnya dilaksanakan cukai baru itu," jelasnya.
"Kita jangan laksanakannya melainkan ada peningkatan harga padi, yang sudah 23 tahun tak naik-naik," katanya lagi.
Ketua Umum PKR itu berceramah di empat tempat semalam - Kampung Selengkoh, Pekan Sungai Limau Dalam, Simpang Tiga dan Dulang Besar (Yan Kechil).
Di setiap tempat itu juga jalan raya sesak dengan kehadiran orang ramai untuk mendengar ceramahnya. [Baca berita penuh]
Sementara itu, ketika berucap di majlis hari terbuka sambutan Deepavali anjuran PKR di Batu Uban , Pulau Pinang, Anwar mengulangi bahawa pendiriannya bersetuju dengan pelaksanaan GST dengan syarat tahap pendapatan dipertingkatkan supaya ia tidak membebankan golongan pendapatan rendah, seperti sekarang.
Anwar yang pernah menjadi menteri kewangan (1990-1998), berkata
idea cukai itu itimbulkan oleh Tun Daim Zainuddin dan daripadanya Anwar faham tentang keperluan melaksanakannya.
Bagaimanapun, katanya, beliau tahu bahawa tahap pendapatan rakyat secara amnya perlu ditingkatkan sebelum GST boleh dikenakan supaya golongan berpendapatan rendah tidak dibebankan.
Menurut Anwar, pelaksanaan GST dalam keadaan di mana rasuah berleluasa , tirisan berlaku dan penyelewengan berulang, akan membebankan golongan berpendapatan rendah.
Katanya, harga minyak telah meningkat selepas pilihan raya umum, begitu juga dengan gula dan tepung, tetapi pendapatan rakyat tidak meningkat.
Oleh itu, katanya, jika dilaksanakan GST pada kadar enam peratus , maka rakyat biasa akan berasa tekanan yang ketara. Baca berita penuh]