Mimbar Jumaat hari ini menggesa umat Islam menyokong pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta tidak meremehkan usaha kerajaan "memperteguh ekonomi ummah" melalui pengenalan cukai baru itu.
Melalui khutbah itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai pengelolanya berhujah, GST tidak membebankan kerana ia menyusun semula sistem percukaian supaya lebih berkesan, saksama dan telus serta mengelakkan cukai terselindung dan bertindih.
Malah, tambahnya, sistem cukai itu juga telah dilaksanakan di luar negara.
"Janganlah kerana mengharapkan bulan dan bintang jatuh ke riba dan terpesona dengan bayangan palsu yang diciptakan oleh pihak musuh, jangan meremehkan dan mempersendakan usaha murni kerajaan yang sedang berjuang bagi membela dan mengangkat martabat ummah," khutbah itu dipetik.
Sementara itu, mimbar juga berhujah, belanjawan yang dibentangkan menteri kewangan Jumaat lepas juga mengambil kira kepentingan rakyat, antaranya melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), bonus kakitangan awam, pembinaan rumah mesra rakyat dan bantuan yuran taska.
Khutbah juga mengucapkan tahniah kepada pemerintah, terutamanya perdana menteri atas pembentangan bajet yang disifatkannya mendahulukan kepentingan rakyat.