Kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau kini masuk hari kesembilan, namun bentuk sokongan yang jelas dari 27,222 pengundinya sehingga kini masih belum menjelma.
Usaha untuk meneliti pergerakan calon BN dan PAS kini agak sulit kerana kesukaran untuk mendapatkan jadual harian masing-masing, yang banyak mengadakan kempen melalui kunjungan rumah ke rumah.
Populariti kedua-dua calon dalam perlawanan satu-lawan satu ini juga masih belum menampakkan gambaran jelas, mungkin kerana sering dibayangi pengaruh pemimpin tertinggi parti mereka sepanjang kempen berlangsung.
Penduduk setempat yang menghadiri majlis anjuran kedua-dua parti ini diperhatikan tidak banyak mendengar ucapan kedua-dua calon – Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dari BN dan Mohd Azam Abd Samat, 37, dari PAS – dalam mengulas isu semasa.
Malah, serangan demi serangan yang dilakukan lawan masing-masing biasanya dikendalikan oleh pemimpin atasan parti mereka.
Keadaan ini mungkin sedikit sebanyak menyukarkan pengundi untuk menilai kebolehan calon untuk mewakili mereka di DUN kelak.
Ini diperhatikan apabila timbul isu penyebaran SMS di Sungai Limau pada awal peringkat kempen, yang mendakwa calon BN pernah memasuki pusat rawatan sakit mental.
Sohaimi bagaimanapun hanya berdiam diri dengan dakwaan tersebut, sehinggalah perkara itu diperjelaskan oleh pemimpin PAS Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang media pada 28 Oktober
Mahfuz menjelaskan bahawa SMS yang mendakwa demikian tidak disebarkan olehnya, seperti didakwa sesetengah pihak.
Dalam majlis anjuran BN semasa kempen ini, Sohaimi juga diperhatikan hanya meluangkan sedikit masa untuk singgah dan bertegur sapa dengan penyokong parti.
Isu utama seperti pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya akan ditimbulkan oleh tokoh seperti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Begitu juga dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang kerap kali mengingatkan orang ramai untuk mengundi Sohaimi kerana "di belakang Sohaimi ada saya, dan di belakang saya ada Datuk Seri Najib".
Di sudut PAS, Azam juga berdepan dengan situasi sama. Calon parti itu sering dibayangi pengaruh Mahfuz dan juga ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dalam sidang media harian mereka semasa tempoh kempen ini.
Antara perkara yang sering diperkatakannya adalah azam untuk membina kemudahan internet tanpa wayar (wifi), membaiki jalan serta memperbaiki sistem pendidikan Islam setempat di Sungai Limau.
Bagaimanapun, beliau lebih banyak berdiam diri apabila timbul kontroversi berhubung gambarnya bersama penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Isu gambar itu, seperti dibongkar sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 28 Oktober, mencalar imej PAS kerana gambar berkenaan didapati diubahsuai untuk menonjolkan hubungan rapat antara Azam dengan Azizan, yang berpengaruh besar di Sungai Limau.
Isu itu akhirnya terpaksa dijawab oleh Amiruddin, tiga hari lalu, yang mengakui bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada pereka grafik yang diupah jentera parti.
Secara kasar, suasana kempen pilihan raya kecil kali ini masih belum rancak, namun situasi ini mungkin berbeza apabila pemimpin utama parti politik dijangkan akan muncul pada hari-hari terakhir kempen.
Antara yang dijangka akan muncul dalam kempen tersebut ialah presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalan presiden PKR, Azmin Ali.